Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan kontrak pengendali skuad Malaysia bawah 22 tahun (B-22), Datuk Ong Kim Swee yang berakhir pada hujung bulan ini tidak akan disambung.

Menurut laporan daripada Bernama, perkara itu diumumkan selepas skuad negara gagal mencapai sasaran mara ke peringkat separuh akhir acara bola sepak lelaki temasya Sukan SEA 2019 di Filipina selepas tewas 1-3 kepada Kemboja semalam.

“Kontrak Datuk Ong (Kim Swee) sebagai ketua jurulatih skuad B-22/B-23 yang berakhir pada penghujung 2019 tidak akan disambung,” kata Setiausaha agung FAM, Stuart Ramalingam.

Bagaimanapun, FAM mengakui kecewa dengan persembahan buruk Malaysia dalam temasya tersebut dan akan menunggu laporan penuh untuk mengetahui punca sebenar kemerosotan prestasi pasukan itu.

“Berhubung keputusan, kami betul-betul kecewa. Kami akan melakukan post-mortem apa yang berlaku untuk pastikan perkara sama (prestasi buruk) tidak akan berulang lagi di masa hadapan. Diharapkan perkara itu dapat diperbaiki,” tambah Stuart.

Ong Kim Swee sebelum ini pernah membantu Malaysia meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA pada tahun 2011 dan pingat perak pada tahun 2017 di Kuala Lumpur.

Malah, beliau juga pernah membawa Malaysia mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China sebelum melakar kejayaan membanggakan dengan menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam saingan peringkat kumpulan temasya Sukan Asia 2018 di Jakarta.

Datuk Ong Kim Swee
Sumber Gambar: FAM

Mengulas mengenai prestasi skuad bimbingannya, Ong Kim Swee mengakui kecewa dan pada masa yang sama menerima dengan hati yang terbuka terhadap semua kritikan yang dilemparkan kepadanya.

“Secara realistik, kita tak layak ke separuh akhir selepas aksi yang tak memuaskan pada SEA Games kali ini. Semestinya kecewa tersingkir seperti ini pada SEA Games terakhir.

“Perlu bangkit lebih kuat selepas setiap kegagalan. Terima kasih kepada yang menyokong selama mengendali Harimau Muda dan segala kritikan diterima dengan hati terbuka,” tulisnya di laman twitter rasmi.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan skuad Malaysia B-22 yang mungkin anda terlepas pandang.

Sukan SEA 2019: Kemboja Hantar Malaysia Balik Awal

Tindakan Justin Baas Kepada Pemain Malaysia Sejurus Tamat Perlawanan Ini Dilihat Sebagai Kurang Ajar.

Sumber