Status Kurniawan Dwi Yulianto sebagai pengendali Sabah dalam saingan Liga Malaysia musim depan masih menjadi tanda tanya apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Dato Verdon Bahanda berkata, beliau mempunyai beberapa calon baharu untuk menggantikan tempat jurulatih dari Indonesia itu.

Kontrak Kurniawan akan tamat pada hujung bulan ini dan mungkin tidak disambung selepas pengurusan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) baru-baru ini mengumumkan Jelius Ating sebagai pengurus dan ketua jurulatih.

“Mungkin saya sudah tidak lagi di Sabah FA kerana pemilik kelab yang baru sudah mengumumkan jurulatih baru,” kata Kurniawan Dwi Yulianto dipetik dalam BolaSport.com.

“Sebenarnya saya belum diberitahu tapi saya tunggu kontrak saya habis saja di sini sampai akhir bulan ini.

“Saya tidak kecewa, itu hak pemilik kelab. Saya bekerja mengikut kontrak dan menghormati kontrak,” kata bekas pemain Sarawak itu.

Memandangkan Jelius Ating belum memiliki lesen kejurulatihan Pro A yang diwajibkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi mengendalikan pasukan Liga Super, Sabah akan menggunakan khidmat jurulatih yang berpengalaman.

CEO Sabah FC turut membayangkan ketua jurulatih baru akan dipilih dalam kalangan jurulatih dalam negara atau jurulatih yang boleh berkomunikasi baik dengan pemain.

“Kecuali kedudukan yang betul-betul memerlukan khidmat daripada luar, barulah kita mencari sama ada pemain atau di bahagian pengurusan daripada orang luar,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:

JDT Umumkan Kerjasama Dengan Subway, Sebuah Kedai Akan Dibuka Di Stadium Sultan Ibrahim Tahun 2021

‘Safety Issue’ Stadium Sultan Zainal Abidin Punca Terengganu Guna SSINS Untuk AFC Cup 2021?

Tiga Pasukan Liga Super Berminat Dapatkan Khidmat R.Kogileswaran