Pemain bek kiri Liverpool, Konstantinos Tsimikas menganggap Darwin Nunez sebagai pemain yang penting buat The Reds dan tanpa berselindung melabel rakan sepasukannya itu sebagai mesin gol.

Nunez yang pada permulaannya dikecam terutama ketika mendapat kad merah pada aksi kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Crystal Palace telah mula menunjukkan kemampuan beliau.

Hal ini kerana Nunez telah berjaya mencetak tiga gol pada empat aksi terakhir dimana jaringan tunggalnya pada perlawanan menentang West Ham United awal pagi semalam telah menghadiahkan kemenangan keempat buat Liverpool dalam kempen liga.

Ia juga menjadikan jumlah keseluruhan lima gol telah dihasilkan pemain kelahiran Uruguay itu selepas beraksi 12 perlawanan bersama Liverpool.

“Dia sentiasa ada [untuk menjaringkan gol]. Dia boleh menjaringkan gol dengan kaki kiri, kaki kanan dan juga dengan kepada. Dia seorang mesin gol,” ujar Tsimikas menurut laporan Goal.

“Dia memerlukan keyakinan, ia akan datang dan saya berharap dia menjaringkan lebih banyak gol dan memberikan kami lebih banyak kemenangan kerana bagi kami dia adalah pemain yang sangat penting.”

“Saya sangat gembira untuknya juga kerana saya tahu dia sudah lama mahu menjaringkan gol. Jelas sekali dia akan menjaringkan lebih banyak gol tetapi diharapkan dia akan mengekalkan tenaga dan golnya untuk perlawanan akan datang,” tambah Tsimikas lagi.

Darwin Nunez berpeluang untuk terus meledak apabila Liverpool akan berkunjung ke City Ground bagi bertemu pasukan yang sudah dibolosi 23 gol dan berada di tangga terbawah liga iaitu Nottingham Forest.

Sumber