Kongres KLFA kali yang ke-32 kini mendapat perhatian umum apabila banyak tokoh politik dari pebagai parti serta beberapa tokoh usahawan turut terlibat untuk merebut posisi penting dalam Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur.

Perhatian kini tertumpu apabila Dato’ Rashid Hasnon turut menyenaraikan Fahmi Fadzil, ahli parlimen Lembah Pantai sebagai Timbalan Presiden serta Datuk Razlan Rafii, Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh dalam barisan Naib Presiden dalam barisan yang dinamakan #TeamPerubahan.

Selain itu, Amir Mahmood yang merupakan Ketua Komunikasi Strategik DRB Hicom merangkap Presiden DRB Hicom turut dicalonkan sebagai Naib Presiden disamping Datuk Azril Mat Drus, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Quantum Electro Opto System.

Dato’ Rashid, semalam memuatnaik satu poster di laman sosial yang menunjukkan turut terdapat nama Nokman Mustaffa, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur yang dikhabarkan akan bersama pakatan calon Presiden, Dato’ Rashid yang turut merupakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh laman sesawang Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, Nokman menafikan beliau akan bersama membantu mana-mana pihak untuk memenangi kongres dan mengambil alih persatuan.

Kongres

Sumber Gambar: MFL

“Terbaru ini saya telah mendapat khabar bahawa timbul satu dakwaan mengenai pakatan baharu yang dikatakan bakal mengambil alih persatuan pada kongres hadapan.”

“Secara jujurnya, saya tidak tahu menahu mengenai perkara ini dan menolak sekeras-kerasnya dakwaan mengenai membantu salah satu pihak,” jelas Nokman seperti yang dipetik di dalam laporan tersebut.

Penulis pula sempat menemubual Zaki, seorang penyokong setia Kuala Lumpur, bertanyakan harapan terhadap kongres pada kali ini serta harapan terhadap pengurusan baru yang akan dipilih pada 24 November 2019 nanti.

“Saya harap kongres berjalan dengan lancar. Kami dah kecewa dengan permainan politik KLFA sebelum ini, dengan harapan gaji bayar elok-elok, penaja cari yang baik. Dari segi permainan, asalkan kita konsisten dan boleh terap semangat melawan, dah cukup baik,” jelas Zaki yang menyokong Kuala Lumpur sejak 10 tahun yang lalu.

“Perubahan ini tak boleh sekadar berjanji, tapi penting untuk yang terpilih tunaikan perkara yang menjadi janji bakal pengurusan baru kali ini. KLFA juga perlu ada program jangka panjang, mungkin 5-10 tahun,” tambah beliau apabila ditanya mengenai calon-calon yang ada bakal bertanding.

Zaki turut menambah, Kuala Lumpur tak perlu ada seorang presiden yang boleh bertindak seperti Tengku Mahkota Johor yang membawa 1001 perubahan, cukuplah ada satu keazaman untuk majukan pasukan dan persatuan untuk menjadi persatuan yang disegani dalam bolasepak Malaysia.

Baca artikel lain mengenai pasukan Kuala Lumpur di sini:

Kuala Lumpur Intai Khidmat Irfan Bakti Sebagai Ketua Jurulatih

Syazwan Andik Tamatkan Kontrak Dengan Kuala Lumpur, Klausa 8.7 Aktif Selepas 2 Bulan Gaji Tidak Dibayar

Artikel di atas disumbangkan oleh Sofwan Zulkepli. Boleh ikuti beliau di sini.
APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group