Kelab bola sepak divisyen 1 Belgium, Royal Antwerp FC dilaporkan semakin hampir untuk mendapatkan khidmat pemain tengah skuad kebangsaan Jepun, Koji Miyoshi secara pinjaman daripada Kawasaki Frontale musim ini.

Koji merupakan seorang pemain yang lahir dari sistem akademi Kawasaki Frontale dan kini beliau beraksi bersama Yokohama F Marinos secara pinjaman selama 1 musim. Pemain berusia 22 tahun ini mula mendapat perhatian beberapa kelab di Eropah setelah memperagakan aksi memberangsangkan bersama Jepun dalam temasya Copa America baru-baru ini.

Japan National Team
Koji Miyoshi bersama pasukan kebangsaan Jepun.

Menurut laporan Yahoo Japan, kelab gergasi La Liga Sepanyol, Barcelona turut berminat untuk mendapatkan Koji namun Royal Antwerp dilihat bakal memenangi perlumbaan untuk mendapatkan tandatangan Koji dimana mereka telah menghantar tawaran kepada Kawaski Frontale.

Bersama Yokohama F Marinos dalam saingan J1 League musim ini, Koji Miyoshi telah melakukan 18 penampilan dengan 1,010 minit masa bermain dan menjaringkan 3 gol. Ketika beraksi bersama Hokkaido Consadole Sapporo pada musim 2018 lalu, beliau berjaya melakukan 26 penampilan, merekodkan 1,776 minit masa bermain serta 3 gol dijaringkan.

Sebelum ini, satu lagi kelab yang beraksi dalam saingan Belgian Jupiler League Pro, Sint-Truiden VV yang dimiliki oleh sebuah syarikat Jepun turut berminat untuk mendapatkan khidmat Koji.

Sint-Truiden VV kini memiliki 3 pemain Jepun iaitu Daniel Schmidt, Yuma Suzuki, Wataru Endo, serta seorang pemain Vietnam, Nguyen Cong Phuong.