Bekas pengurus Barcelona, Ronald Koeman memberikan gambaran bahawa tiada perubahan yang begitu ketara dapat disaksikan selepas The Blaugrana dibimbing oleh legenda kelab, Xavi Hernandez.

Walaupun tidak secara terang-terangan, tetapi penjelasan daripada pengurus berusia 59 tahun ini sudah jelas untuk membuktikan bahawa bukanlah antara pengurus yang mempunyai rekod teruk ketika membimbing Barcelona.

Selepas 18 bulan membimbing kelab gergasi Sepanyol itu, Koeman dipecat berikutan prestasi hambar ditampilkan Barcelona sehingga skuad kendaliannya menduduki tangga kesembilan, ketinggalan enam mata di belakang pendahulu La Liga musim ini, Real Madrid.

Namun selepas kehadiran Xavi membimbing pasukan, Barcelona berjaya memperbaiki kedudukan untuk berada di tangga kedua tetapi mereka kini 15 mata di belakang seteru ketat tersebut.

Keadaan itu menyebabkan Koeman berpendapat bahawa adalah sesuatu yang tidak baik untuk membandingkan sumbangan daripadanya dan juga Xavi.

“Saya boleh menulis sebuah buku tentang waktu saya di Barca. Banyak perkara yang berlaku terhadap kami,” ujar Koeman menurut laporan Goal.

“Isu COVID-19, kurang sokongan daripada Presiden, saya perlu untuk menjawab semua jenis soalan, tidak boleh membawa masuk pemain-pemain yang saya mahukan, komplikasi kewangan ‘Fair Play’, tanpa Leo Messi dari hari ke hari, kehilangan [Antoine] Griezmann pada hari terakhir jendela perpindahan.”

“Sudah pasti mereka [Xavi] telah meningkat dalam beberapa perkara. Mereka telah menandatangani tiga pemain penyerang atau tiga pemain yang boleh beraksi di hadapan.”

“Ia tidak baik untuk dibuat perbandingan. Apabila saya meninggalkan kelab, Barcelona lapan mata di belakang Real Madrid tetapi kini sudah hampir dua kali ganda. Ia memang sesuatu yang tidak baik untuk dibandingkan.”

“Tugasan Xavi sama sahaja sulit seperti saya alami. Ia merupakan realiti Barcelona pada ketika ini. Ia memerlukan masa untuk kembali seperti sediakala. Kita perlu untuk memikirkan tentang perancangan jangka masa panjang, kepercayaan dan menyokong jurulatih,” tambah Ronald Koeman lagi.

Sumber