Pemain muda kacukan negara, Kobe Chong menegaskan beliau sudah bersedia untuk beraksi bersama skuad kebangsaan dan sedang menunggu panggilan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut laporan Harian Metro, Kobe berazam untuk beraksi bersama pasukan negara khususnya skuad B-22 tahun negara yang akan bersaing pada kejohanan AFC B-23 di Uzbekistan tahun hadapan.

Sebelum ini, ketua jurulatih skuad B-22 tahun negara, Brad Maloney menegaskan pintu sentiasa terbuka untuk mana-mana pemain yang mahu beraksi bersama pasukan negara pada temasya AFC B-23 tahun hadapan.

Pasukan negara menampilkan prestasi yang baik pada aksi kelayakan AFC B-23 tahun di Ulaanbaatar baru-baru ini dimana Malaysia mencatat dua kemenangan dan satu seri sekaligus muncul juara kumpulan J.

Malaysia menewaskan Laos dan Mongolia dengan keputusan 1-0 sebelum seri tanpa jaringan ketika bertemu Thailand sekaligus mengesahkan tempat dalam saingan yang bakal diadakan di Uzbekistan.

Setelah berjaya melayakkan diri, terdapat desakan agar Brad Maloney memanggil pemain muda negara yang bermain di luar negara agar dibawa ke Uzbekistan bagi memperkuatkan pasukan.

Pemain seperti Kobe Chong (Peterborough United) Jaami Qureshi (Brighton and Hove Albion), Omar Raiyan (Red Star Belgrade), Wan Kuzri, Haddi Fayyadh (Azul Claro Numazu) serta beberapa pemain lain yang beraksi dalam saingan liga tempatan seperti Shahrul Nazeem, Danial Asri (Selangor) dan Arif Aiman, Alif Mutalib (Johor Darul Ta’zim) menjadi antara pemain yang dianggap mampu untuk menambah kekuatan pasukan negara.

Kali terakhir Malaysia beraksi dalam temasya AFC B-23 tahun ialah pada 2018 dimana skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ketika itu berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir.

Pasukan negara menamatkan saingan peringkat kumpulan C di tangga kedua dengan kutipan empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan satu kalah.

Pada aksi suku akhir, jaringan Han Seung-gyu pada minit ke-85 menjadi penghalang kepada hasrat pasukan negara untuk melangkah ke peringkat separuh akhir.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

JDT Bakal Muktamadkan Perjanjian Bernilai Jutaan Dolar Amerika Dengan Syarikat Gergasi Antarabangsa

G-SHOCK Dan FAM Lancar Jam Tangan Edisi Terhad Kedua Yang Lebih Bergaya

Irfan Bakti Bangga Dengan Kemampuan Nafuzi Zain Bimbing Terengganu