Pemain kacukan negara, Kobe Chong kini bergelar sebagai ejen bebas setelah beliau memutuskan untuk meninggalkan kelab divisyen bawahan England iaitu Nuneaton Borough.

Perkara ini dikongsikan oleh Kobe menerusi laman media sosial rasmi Twitter miliknya dimana pemain itu hanya beraksi selama tiga bulan bersama Nuneaton.

“Saya memutuskan untuk meninggalkan Nuneaton Borough. Saya sangat menikmati waktu singkat bersama kelab ini. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada pasukan,” katanya.

Kobe Chong sebelum ini beraksi bersama Telford United dimana beliau menyertai pasukan pada bulan Julai 2022.

Pengurus Telford United, Paul Caden nyata berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh pemain baharu pasukan iaitu Kobe.

Selepas menandatangani kontrak bersama pasukan, Kobe terus diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan persahabatan menentang Shrewsbury Town.

“Dia berada di kelas tersendiri. Dia menunjukkan semua orang kenapa kita perlu menandatanganinya. Dia mempunyai tahap kesedaran yang baik sebagai pemain muda.

“Tahap kecergasan Kobe juga baik. Ini merupakan perlawanan pertama beliau di sini dan saya cukup kagum dengan apa yang diberikan olehnya,” kata Caden.

Meskipun menampilkan prestasi yang baik, namun Telford mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak Kobe Chong pada Februari tahun ini.

Kobe pernah dikaitkan dengan Sri Pahang setelah pemain itu pernah berjumpa dengan presiden Pahang Rangers, YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada Mei tahun lalu.