Pemain berdarah campuran Malaysia-Jamaica, Kobe Chong sedang mengintai peluang untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.

Kobe, yang berusia 17 tahun mempunyai pertalian darah dengan Malaysia apabila neneknya dilahirkan di Perak, Malaysia. Beliau dikhabarkan telah bertemu dengan badan induk bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membincangkan mengenai peluang pemain muda itu untuk beraksi bersama Malaysia di pentas antarabangsa.

Kobe memulakan karier sebagai pemain dengan menyertai pasukan West Bromwich Albion pada musim 2010/12. Setelah beraksi bersama WBA selama dua musim, Kobe menyertai Kidderminster Harriers selama dua musim iaitu dari musim 2014 sehinggalah 2016.

Kobe Jae Chong
Sumber Gambar: Football Tribe

Pada penghujung 2016, Kobe Chong memutuskan untuk berpindah ke Itali dan menyertai pasukan Cagliari Bawah 17 Tahun. Pada September 2017, ketika berusia 16 tahun, pengurus Cagliari B-17, Martino Mellis memberikan peluang kepada Kobe untuk membuat penampilan pertama bersama pasukan.

Mellis gemar meletakkan Kobe di posisi serangan khususnya sebagai pemain nombor 10 bagi membantu penyerang utama. Kobe nyata tidak mengecewakan apabila berjaya mempamerkan kemampuan serta kualiti yang dimilikinya. Selain itu, beliau juga boleh diturunkan di posisi sayap kiri.

Setelah menghabiskan hampir setahun di Cagliari, pemain dengan nama penuh Kobe Jae Chong ini kembali ke England dan prestasi beliau nyata mengejutkan ramai pencari bakat.

Masih belum jelas sama ada peminat akan menyaksikan kelibat Kobe Chong yang juga mempunyai campuran China dan Jamaica ini beraksi bersama skuad Harimau Malaya dalam masa terdekat.

Setelah menyaksikan beberapa pemain kacukan beraksi bersama dengan baik pasukan kebangsaan seperti Brendan Gan, Matthew Davies dan Natxo Insa, kelibat Kobe diharapkan dapat memberi impak positif kepada pasukan kebangsaan sekiranya beliau memutuskan untuk mewakili Malaysia.