Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mendedahkan dua pemain muda berdarah campuran bakal memperkuatkan skuad bawah 23 tahun Malaysia (B-23) bagi mengharungi temasya Sukan SEA di Filipina pada hujung tahun ini.

Dua pemain tersebut ialah Kobe Chong (18 tahun) dan Armin Maier Rafi (21 tahun). Kobe memulakan karier beliau selaku pemain dengan menyertai West Bromwich Albion pada musim 2010/12 sebelum memilih untuk menyertai Kidderminster Harriers selama dua musim iaitu dari 2014 sehinggalah 2016.

Pada penghujung 2016, beliau memilih untuk berpindah ke Itali bagi menyertai Cagliari Calcio B-17. Manakala Armin merupakan bekas pemain skuad kebangsaan Singapura dan pernah mewakili skuad Young Lions beraksi dalam saingan Liga Singapura. Beliau kini telah menyertai pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT II).

D5jCV3PWAAAmmNg

Armin Maier

Bagaimanapun, dua pemain itu perlu menunggu lampu hijau daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menyertai pasukan kebangsaan Malaysia.

Stuart berkata mengikut perancangan awal, dua pemain itu akan diberi keutamaan untuk mewakili pasukan B-23 terlebih dahulu sebelum diserap ke skuad senior Harimau Malaya.

“Mungkin jika kita mendapat kelulusan daripada KDN dan FIFA, kita boleh gunakan khidmat mereka untuk Sukan SEA nanti. Tapi segalanya terpulang kepada jurulatih untuk membuat penilaian terbaik,” katanya kepada Berita Harian.

Selain itu, pengendali skuad Malaysia B-23, Datuk Ong Kim Swee turut intai dua bintang muda Kedah yang beraksi di final Piala FA iaitu Fadzrul Danel Mohd Nizam dan pemain sayap Fayyadh Zulkifli.

Safawi Rasid mahu hadiahkan pingat emas Sukan SEA untuk negara

Sementara itu, kapten skuad B-23 negara, Safawi Rasid tekad hadiahkan pingat emas untuk negara setelah pasukan itu diletakkan dalam kategori A oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Terima kasih kepada MOM kerana percaya kepada kami (skuad B-23) dan kami akan cuba berikan aksi terbaik di Sukan SEA.

“Sudah tentu saya dan rakan-rakan ingin menukar warna pingat daripada pingat perak (Sukan SEA 2017) dua tahun lalu kepada pingat emas. Keputusan memberi kami tiket kategori A akan menaikkan semangat kami untuk bermain sehabis baik,” katanya dalam Arena Metro. 

Safawi Rasid

Sumber Gambar: AFF

Beliau juga yakin dengan kemampuan rakan sepasukan yang telah bersama sejak dua tahun lalu ditambah pula dengan kehadiran beberapa muka baharu yang lebih berkualiti.

“Dominic Tan, Akhyar Rashid, Syahmi Safari dan lain-lain adalah pemain dua tahun lalu. Kalau ikutkan hampir separuh pasukan dua tahun lalu boleh lagi bermain tahun ini.

“Jadi kami dah serasi bermain bersama dan rasanya tak ada masalah untuk pasukan menyerlah. Saya sendiri inginkan pingat emas sebab ini adalah penampilan terakhir saya kerana dua tahun lagi umur saya sudah 24 tahun dan tak boleh main lagi,” katanya.

2 KOMEN
  • Anuar Mohd Zain

    Malaysia melakukan kesilapan besar dengan mengetepikan Safawi dari skuad sukan SEA. Alasan DOKS hanya rumus yang merugikan negara. SR sedang dikemuncak prestasi sepatutnya digunakan dengan cara terpuji bukannya digugurkan dari skuad seperti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Peminat kecewa.

  • Zarlie

    Bagus DOKS ketepikan Safawi. Dia sepatutnya dah tak boleh main untuk B-23, Skuad Harimau Malaya adalah tempat nya! Lagi pun bagilah dia rehat nanti ‘burn out’ pula. Kelayakan Piala Dunia & Piala Asia tu lagi penting, bukan Sukan Sea tak penting tapi lagi baik DOKS ‘campurkan’ skuad B-23 & B-19.

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group