Pemain berdarah campuran Malaysia-Jamaica, Kobe Jae Chong disebut-sebut sebagai salah satu calon pemain kacukan yang berada dalam senarai pendek Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi dipanggil untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan.

Menerusi laman media sosial Instagram Story milik Kobe, beliau menjawab beberapa soalan yang dilontarkan kepadanya dan ada peminat bola sepak tanah air yang menanyakan soalan mengenai bila bekas pemain Cagliari B-17 Tahun ini mulai beraksi bersama pasukan kebangsaan.

Kobe menjawab soalan tersebut dengan menyatakan tidak lama lagi beliau akan menyertai pasukan negara. Namun, masih belum jelas sama ada Chong akan diserapkan ke skuad B-19 ataupun B-23 tahun.

Selain itu, peminat turut bertanya mengenai pemain mana yang menjadi idola beliau serta apa yang akan dilakukan sekiranya pemain berusia 17 tahun ini datang ke Malaysia. Chong kemudiannya menjawab tidak meminati mana-mana pemain namun berpendapat pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh merupakan pemain yang bagus. Selain itu, Chong mahu mempelajari bahasa kebangsaan.

Kobe dijangka menyertai pasukan kebangsaan dalam masa terdekat setelah beliau mengadakan pertemuan dengan FAM bagi membincangkan peluang pemain itu beraksi bersama skuad Harimau Malaya. Selain Kobe Chong, empat lagi pemain dikatakan turut berada dalam senarai pendek FAM untuk dipanggil.

Empat pemain tersebut ialah penjaga gol Johor Darul Ta’zim III, Julian Bechler, Armin Meier, Hong Wan yang kini beraksi bersama akademi Wolverhampton Wanderers dan Quentin Chong yang ketika ini beraksi di Australia bersama pasukan Central Coast Mariners B-21 tahun.

Selain pengambilan pemain kacukan, FAM juga berada dalam fasa terakhir untuk mendaftarkan Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula sebagai pemain naturalisasi sekaligus mengikut jejak pemain sayap Pahang, langkah Mohamadou Sumareh.