Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp telah menolak tuduhan oleh bekas pengadil Liga Perdana, Mark Clattenburg, yang mengatakan bahawa dia mahu mempengaruhi keputusan pengadil menjelang perlawanan besar menentang Manchester United hujung minggu ini – sama seperti Sir Alex Ferguson satu ketika dahulu.

Segalanya bermula ketika Klopp mengkritik keputusan pengadil yang tidak menghadiahkan mereka sepakan penalti dalam aksi berdepan dengan Southampton dan membandingkan bahawa Man United mendapat penalti jauh lebih banyak dalam dua musim terkahir berbanding 5 tahun setengah beliau di Liverpool.

Clattenburg juga membalas kenyataan Klopp melalui ruangan khas yang ditulisnya di Daily Mail. Menurut Clattenburg, Klopp bukan sahaja berusaha mempengaruhi pengadil, malah hipokrit kerana Liverpool turut memiliki ramai pemain yang gemar diving untuk mendapatkan penalti.

Klopp mengakui bahawa dia tidak terkejut dengan respon yang diterimanya, atas kenyataan yang dibuatnya setelah kekalahan menentang Southampton termasuk dari Clattenburg.

“Adakah saya terkejut bahawa ada yang membicarakan apa yang saya katakan selepas perlawanan menentang Southampton? Tidak. Adakah saya terkejut bahawa Mark Clattenburg membicarakannya? Tidak,” kata Klopp.

“Saya tidak pasti mengapa atau adakah dia ditanya mengenainya, tetapi sangat bagus kita dapat membicarakannya lebih lama setelah kerjayanya [berakhir],” tambahnya.

Seterusnya, Klopp juga menafikan bahawa dia cuba mempengaruhi pengadil yang, menurut Clattenburg, meniru tindakan bekas pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson.

“Saya bukan Sir Alex, saya tidak mencuba permainan saraf. Saya ditanya terus selepas perlawanan Southampton dan saya tidak berfikir sesaat lagi mengenai permainan menentang United.”

“Saya melihat statistik mengenai penalti sebelum perlawanan Southampton, itu saja,” kata Klopp.

“Ketika orang-orang seperti Mark Clattenburg bercakap sekarang, selalu bercakap lebih banyak mengenai mereka daripada saya. Mungkin jika dia berada dalam situasi saya dia akan bermain permainan saraf, tapi sayangnya saya tidak mempunyai kemahiran untuk bermain permainan saraf,” tuntas Klopp.

Baca juga perkembangan lain

Clattenburg: ‘Klopp Hipokrit Persoal Penalti United’

Ole Yakin Boleh Kejutkan Liverpool Di Anfield

DFB Pokal: Skuad Serba Bintang Bayern Disingkirkan Pasukan Bawahan