Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp meramalkan bahawa Manchester City akan menjuarai Liga Perdana Inggeris sekali lagi pada musim akan datang. Memandangkan pasukan itu sangat dominan di bawah Pep Guardiola.

City sudah membawa masuk Erling Haaland di barisan serangan mereka. Kehadiran pemain Norway itu akan menguatkan lagi sengat pasukan tersebut.

Manchester City berharap untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali ketiga berturut-turut musim ini, tetapi pastinya Pep sedar bahawa mereka akan menghadapi saingan sengit daripada beberapa kelab.

Salah satu daripada pasukan itu ialah Liverpool. Di mana Liverpool telah memaksa perebutan kejuaraan sehingga ke hari terakhir pada musim lalu, sama seperti 2019.

Kelab asal Merseyside itu telah menikmati salah satu tempoh paling berjaya dalam sejarah mereka baru-baru ini di bawah pengurus Jerman dan telah meningkatkan skuad mereka untuk kempen akan datang.

Liverpool menandatangani penyerang Uruguay Darwin Nunez dengan harga £64 juta. Bagaimanapun, bekas pengurus Dortmund itu kekal dengan pendiriannya bahawa Manchester City bakal bergelar juara sekali lagi.

Bercakap kepada Sky Sports, dia berkata: “Selalunya begini: sasaran utama adalah untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah. Itu sudah cukup sukar. Apabila anda mencapai tahap itu dan kemudian anda masih berpeluang untuk mengejar gelaran liga, maka anda melakukannya.”

“Tetapi untuk sebahagian besar musim ini anda bertarung untuk Liga Juara-Juara.”

Ditanya tentang peluang Liverpool untuk bersaing dalam kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Klopp berkata: “Itu akan menjadi pertarungan hebat [untuk kejuaraan Liga Perdana Inggeris], Ya Tuhanku!”

“Itulah Liga Perdana. Saya tidak tahu siapa yang akan terlibat dalam perlumbaan, nampaknya City pada akhirnya akan menjadi juara.”

“Jika kita tak memenanginya sebelum ini, saya fikir mereka akan memenanginya lima atau enam kali berturut-turut yang benar-benar gila di negara ini.”

“Tetapi sasaran kami adalah untuk bermain musim terbaik yang mungkin untuk kami. Apa yang boleh kami berikan? Mari lihat. Betul-betul tak sabar.”