Jurgen Klopp mengatakan bahawa Liverpool tidak boleh fokus untuk memecahkan rekod setelah menjadi juara Liga Perdana Inggeris.

Ini selepas The Reds mencatatkan 17 kemenangan dari 17 perlawanan di Anfield pada musim ini dengan menewaskan Aston Villa.

The Reds dengan cemerlang mengutip 89 mata selepas dua gol di babak kedua oleh Sadio Mane dan Curtis Jones untuk memperoleh kemenangan 2-0.

Liverpool memerlukan 12 mata daripada lima perlawanan terakhir untuk mengalahkan rekod Manchester City dengan 100 mata dalam satu musim.

Namun Klopp sudah memberikan amaran kepada para pemainnya agar tidak memikirkan soal rekod. Sebaliknya fokus kepada kemenangan dalam setiap perlawanan.

“Kami selalu fokus pada perlawanan dan itu tidak akan berubah,” kata Klopp.

“Kami tidak datang ke sini dan memiliki mata yang kami miliki kerana kami memikirkan memecahkan rekod.”

“Sekiranya kita dapat melakukan sesuatu yang istimewa itu bagus tetapi kita haruslah benar-benar tidak terlalu memikirkannya.”

Selain memecahkan rekod untuk mata terbanyak dalam satu musim, Liverpool juga boleh menyamai rekod berusia 128 tahun Sunderland yang memenangi setiap pertandingan liga sebagai tuan rumah dalam satu musim.

Mereka telah menang 17 dari 17 perlawanan di tempat sendiri pada 2019/20 dan 24 berturut-turut – bermula dengan seri 1-1 dengan Leicester pada Januari 2019.

Ini adalah perlawanan pertama Liverpool di Anfield sejak menjadi juara Liga Perdana dan kemenangan memastikan mereka bangki semula setelah dikalahkan 4-0 oleh Manchester City pada hari Khamis.

Klopp menambahkan: “Aston Villa berjuang dengan semua yang mereka miliki dan itu membuat hidup kami sukar.”

“Saya menyukainya, itu bukan persembahan yang cemerlang tetapi prestasi yang bagus yang memberikan kami tiga mata.”

Kekalahan untuk Villa bermaksud mereka kekal di zon penyingkiran di tangga ke-18, satu mata di belakang zon selamat.

Villa masih mencari kemenangan pertama sejak Liga Perdana Inggeris dimulakan semula.