Undian Piala Asia 2023 yang diadakan semalam seperti diketahui menyaksikan juara dua kali, Korea Selatan telah diletakkan bersama-sama Malaysia, Jordan dan Bahrain dalam kumpulan E.

Melihatkan kepada reputasi serta ranking keempat-empat pasukan tersebut, Korea Selatan yang kini dibimbing Jurgen Klinsmann pastinya menjadi pilihan untuk menggungguli kumpulan tersebut.

Malah, jurulatih kelahiran Jerman itu juga turut menyimpan impian besar untuk melihat skuad kendaliannya menjuarai saingan bagi edisi ke-18 ini.

“Kami sangat gembira, kami akan bermain menentang Malaysia, sebuah pasukan yang dibimbing jurulatih dari Korea Selatan,” ujar Klinsmann menurut kenyataannya di laman sesawang rasmi AFC.

“Dengan Bahrain dan Jordan, saya perlu untuk membuat kerja rumah. Saya perlu melihat permainan dan membiasakan diri dengan pasukan mereka, tentang pemain dan pendekatan mereka.”

“Ia merupakan proses pembelajaran yang besar buat saya dalam tempoh beberapa bulan mendatang ini tetapi ia sangat mengujakan.”

“Untuk mengadakan kejohanan ini di Qatar pada Januari 2023, di tempat Piala Dunia yang baharu sahaja dimainkan dan ia merupakan salah satu Piala Dunia terbaik yang pernah ada. Mungkin juga final terbaik pernah ada, adalah menarik.”

“Saya bercakap dengan ramai pemain saya, mereka semua berada di seluruh Eropah, bermain di K-League, China, Jepun dan mereka semua sangat teruja.”

“Kami mempunyai sebuah pasukan yang kuat. Kami melihat diri sendiri di cermin dan berkata kami akan pergi ke Qatar untuk memenangi kejohanan itu [Piala Asia 2023],” tambah Klinsmann lagi.

 

 

 

 

Sumber