Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) akan menghantar surat bagi meminta penjelasan serta memohon untuk menangguhkan kongres ke-31 persatuan tersebut kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS).

Sebelum ini, PJS memberi tempoh sehingga 31 Mei untuk KLFA mengadakan Kongres berkenaan dan memilih barisan kepimpinan baharu bagi mengemudi persatuan tersebut. Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa bagaimanapun meminta untuk menangguhkan kongres tersebut kepada bulan Ogos ataupun September.

Nokman Mustaffa
Sumber Gambar: Stadium Astro

“Sekarang ini yang ganggu adalah mereka (PJS), bukan kita. Mengikut statut mereka tidak boleh campur tangan dan kita belum mengadakan mesyuarat lagi mereka sudah kacau.

“Jadi kita akan buat surat biar mereka jawab. Kalau dia jawab cepat, maka cepatlah kita akan bermesyuarat. Kalau ikut pada FIFA, mereka tak boleh kacau KLFA. Hanya FAM yang boleh buat tindakan sebab kita ahli gabungan. Saya sanggup pergi sampai ke FIFA. Kalau terpaksa kita akan buat, tapi tengok keadaan dulu.

“Kita akan lawan kerana cara yang mereka buat macam menyalahkan KLFA, kenapa tak salahkan yang buat aduan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Kemelut yang dihadapi KLFA memberi kesan terhadap prestasi pasukan dimana mereka mengalami enam kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super. The City Boys berjaya bangkit dan mula mencatat kemenangan apabila Chong Yee Fatt mula mengendalikan pasukan setelah Yusri Che Lah meletak jawatan.