Juara bertahan, Kuala Lumpur City tewas dengan keputusan 1-0 kepada Terengganu pada aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia 2022 di Stadium KLFA, Cheras.

Meskipun beraksi di laman lawan, perkara ini tidak menghalang Terengganu untuk membuka tirai jaringan dimana Kpah Sherman menjaringkan gol pada minit ke-14 dimana beliau melepaskan rembatan kencang setelah menerima bola hasil daripada bola muntah di kawasan penalti KL City.

Tersentak dengan jaringan Kpah, pemain Kuala Lumpur cuba untuk mencari jaringan penyamaan namun barisan pertahanan naib juara Piala FA 2022 itu kental bertahan sekaligus berjaya menyerap segala asakan yang dilakukan oleh pemain lawan. Separuh masa pertama tamat dengan skuad bimbingan Nafuzi Zain berada di hadapan.

Memasuki separuh masa kedua, Terengganu terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah penjaga gol, Suhaimi Husin dilayangkan kad merah apabila beliau mengasari Romel Morales di luar kawasan penalti. Pada minit ke-67, Giancarlo Gallifuoco mempunyai peluang keemasan untuk menjaringkan gol penyamaan namun beliau mensia-siakan peluang yang dimiliki.

Penjaga gol gantian, Shamirza Yusof berjaya menyelamatkan rembatan Giancarlo dimana sebelumnya penjaga gol itu turut menyelamatkan sepakan percuma yang diambil oleh ketua pasukan KL City, Paulo Josue.

KL City terus buntu dalam usaha mereka mencari gol penyamaan dan kedudukan 1-0 bertahan sehingga wisel penamat sekaligus memberikan kelebihan awal bagi Terengganu.

Satu lagi aksi suku akhir membabitkan Selangor menentang Negeri Sembilan dimana juara 33 kali itu berjaya memenangi perlawanan dengan ke;utusan 2-0 menerusi jaringan Caion dan Alif Haiqal pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya.

Terengganu akan menjadi tuan rumah bagi aksi suku akhir kedua pada 12 November ini manakala Negeri Sembilan akan menjadi tuan rumah pada tarikh yang sama.