Kejadian tidak diingini berlaku selepas perlawanan Liga Super 2023 antara Kuala Lumpur City menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) baru-baru ini apabila salah satu bas yang membawa peminat pasukan lawan dibaling batu oleh sekumpulan individu tidak bertanggungjawab.

Menurut perkongsian di laman media sosial Twitter, ada peminat JDT mendakwa bas mereka dibaling oleh kumpulan penyokong tuan rumah yang digelar casual ekoran tidak berpuas hati tewas di laman sendiri.

Kejadian ini bukanlah kali pertama berlaku dalam saingan Liga Malaysia dimana tahun lalu penyokong Selangor turut mengalami nasib sama selepas aksi separuh akhir kedua saingan Piala Malaysia menentang Terengganu.

Menurut perkongsian beberapa individu di laman media sosial, ada segelintir peminat Terengganu yang membaling batu dan juga kon terhadap bas pemain Selangor ketika mereka meninggalkan stadium untuk menuju pulang ke Lembah Klang.

Selain itu, peminat yang berada di dalam stadium terlebih dahulu dibaling dengan pelbagai objek seperti botol air dan juga bekas makanan.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan kedua dalam saingan Liga Super 2023 apabila berjaya menundukkan KL City 3-0.

Gawang Kevin Ray Mendoza bocor pada minit ke-41 apabila Romel Morales tertampan bola ke gawang sendiri dalam usahanya untuk menghalang Jordi Amat daripada melakukan percubaan ketika situasi sepakan percuma.

Kedudukan berubah ketika aksi memasuki minit ke-51 apabila pemain naturalisasi terbaharu negara, Endrick Dos Santos menanduk masuk bola hasil hantaran lintang daripada Fernando Forestieri.

Pemain paling bernilai musim lalu, Arif Aiman Hanapi melengkapkan kemenangan 3-0 tersebut selepas beliau mudah menolak masuk bola hasil lorongan kemas Ramadhan Saifullah pada minit ke-90.