Skuad Kuala Lumpur City (KL City) membawa misi besar untuk mencipta sejarah apabila bakal berdepan kelab Oman, Al Seeb di pentas akhir Piala AFC malam esok di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak yakin mereka akan jadi pasukan kedua dari Malaysia julang Piala AFC selepas JDT melakukannya pada tahun 2015.

“Sejak menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2021, semua kejayaan yang kami kecapi tahun ini ibarat sebuah mimpi.

“Kami tidak menjangka mampu mara hingga ke perlawanan akhir kerana sasaran sebenarnya ialah melepasi peringkat kumpulan. Ianya berubah sejak kami menewaskan Viettel FC di Vietnam dan berharap dapat meneruskan momentum itu dengan menewaskan Al Seeb.

“Al Seeb pasukan yang kuat, mereka ada 5 pemain yang beraksi dengan skuad kebangsaan Oman dimana ranking FIFA lebih tinggi daripada Malaysia. Saya percaya mereka pasukan pilihan di final kali ini,” kata Bojan Hodak.

Namun begitu, Hodak turut mengakui pasukannya memiliki kelebihan kerana bakal beraksi di hadapan ribuan penyokong setia dan juga mendapat sokongan padu daripada rakyat Malaysia.

“Kami beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Nasional dan sokongan padu penyokong akan menjadi kelebihan.

“Sejak minggu lepas, para pemain berusaha keras di sesi latihan kerana mereka semua mahu bermain di final. Ini memudahkan kerja saya kerana hanya perlu menumpukan perhatian kepada perubahan taktikal.

“Al Seeb cukup berbahaya di bahagian serangan tetapi kami sudah bersedia untuk menghadapinya. Kami hanya perlu fokus dan berharap dapat mengurangkan kesilapan mudah,” jelas Bojan Hodak di sidang media.

Saksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala AFC 2022 diantara KL City menentang Al Seeb di saluran TV9 bermula pukul 6.55 malam pada hari esok (22 Oktober 2022).

Anda juga boleh menonton menerusi saluran unifi TV 109, Astro 149, myFreeview 109 dan strim di tonton.