‘Pembunuh upahan’ dari Colombia, Romel Morales dijangka bergelar sebagai pemain tempatan pada tahun 2023 apabila pengurusan kelabnya, KL City FC merancang untuk menaturalisasikan pemain yang berusia 24 tahun itu.

Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi KL City, Stanley Bernard melalui kenyataan dalam Berita Harian semalam. Menurut Stanley, Romel telah menunjukkan peningkatan prestasi dalam setiap perlawanan sejak beraksi sebagai penyerang.

“Memang itu dalam perancangan kami (menaturalisasikan Romel). Kita lihat dia memiliki potensi dan keperluan terhadap pasukan ini sebagai pengganti kepada pemain sedia ada walaupun posisinya kini berubah sebagai penyerang.

“Di posisi penyerang, dia boleh menjaringkan gol dan sebagai pemain tengah pun, dia boleh melakukan hantaran yang baik. Jadi kita lihat kemampuannya yang pelbagai untuk membantu pasukan.

“Cuma saya tidak mahu bercakap mengenai perkara itu (Romel sebagai pemain naturalisasi negara) kerana ia pilihan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Romel pun perlu buktikan kemampuannya.

“Tetapi kalau di peringkat kelab, saya rasa dia memang terbaik. Kita pun mengikatnya untuk jangka masa panjang berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diberikan kepadanya,” katanya.

Romel Morales
Aksi Romel Morales ketika bersama Melaka United. Sumber Gambar: MUSA

Romel Morales telah beraksi dalam Liga Malaysia sejak tahun 2018 dan beliau akan mencapai tempoh 5 tahun seperti yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 2022 sekaligus layak dipanggil untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

Keadaan ini sudah tentu akan memberi banyak pilihan kepada Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya untuk membentuk barisan yang mantap di pentas antarabangsa.

Walaupun FAM menangguhkan sementara pengambilan pemain naturalisasi namun begitu, pasukan Liga Malaysia masih dibenarkan menaturalisasikan pemain import seperti mana dilakukan oleh pasukan Pahang yang mengambil Mohamadou Sumareh pada tahun 2018 lalu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Ryan Lambert Sedia Beraksi Bersama Harimau Malaya

Piala Malaysia 2021: Kedah, JDT Sama Buntu

“Hang Tak Pakai Seluaq Lagi Aku Main Bola Dah, Diet Apa Diet?” – Respon Selamba Sanusi Md Nor Kepada TMJ