Skuad Kuala Lumpur City FC (KL City) merupakan satu-satunya wakil Liga Malaysia yang masih bertanding di peringkat kalah mati saingan kelab Asia selepas Kedah dan JDT tersingkir pada bulan lepas.

Bagaimanapun, mereka berdepan tugas sukar apabila dijadualkan bertemu Kelab India, ATK Mohun Bagan dalam perlawanan separuh akhir antara zon, Piala AFC 2022 di Kolkata malam esok.

Bercakap kepada AFC, pemain pertahanan import KL City, Giancarlo Gallifuoco mahu rakan sepasukan mengambil peluang ini untuk mara lebih jauh dan membuktikan kualiti pasukan dari Liga Malaysia di pentas Asia.

“Ini tahun yang hebat untuk bola sepak Malaysia. Saya gembira apabila Kedah melepasi peringkat kumpulan [Piala AFC] dan saya juga gembira untuk Johor apabila mereka melepasi peringkat kumpulan [AFC Champion League] kerana pertandingan ini membolehkan seluruh Asia dan dunia melihat tahap liga anda.

“Kini kami satu-satunya wakil Malaysia, tetapi saya tidak fikir kami melihat itu sebagai tekanan. Kami berasa sangat berbangga kerana kami kini mewakili negara dan pastinya anda dapat melihat melalui media sosial bahawa peminat dari pasukan lain sedang menonton perlawanan anda dan menyokong anda dan itu akan mendorong kami untuk bekerja lebih keras.

“Kami berada dalam Piala AFC untuk menunjukkan kepada seluruh Asia betapa bagusnya Liga Super Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai ATK Mohun Bagan, beliau sangat mengenai dua nama pemain import Australia yang beraksi bersama pasukan tersebut iaitu Dimitri Petratos dan bekas rakan sepasukannya, Brendan Hamill.

“Saya sangat teruja bertemu Brendan Hamill dan Dimi. Saya dan Brendan bukan sahaja bermain bersama (di Western Sydney Wanderers) malah pernah menuntut di Australian Institute of Sports (AIS) bersama-sama, jadi saya sudah lama mengenalinya.

“Dia kawan baik, dan lelaki yang baik, dan Dimi Petratos juga begitu. Saya pernah berlatih dengannya ketika saya berumur 14 tahun, jadi mereka ialah kenalan lama.

“Tetapi sebagai lawan, saya tahu kualiti kedua-dua mereka terutamanya Petratos, yang mempunyai keupayaan yang luar biasa. Dia merupakan pemain pasukan kebangsaan Australia, dan dia adalah seseorang yang kita perlu kawal,” jelas Gallifuoco.

Jika skuad kendalian Bojan Hodak menang ke atas Mohun Bagan itu, KL City akan menempah tiket ke pentas final Antara Zon untuk berdepan sama ada wakil dari Uzbekistan, FC Sogdiana Jizzakh atau Eastern SC dari Hong Kong.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

FAM Sahkan Pengadil Buat Keputusan Tepat Beri Penalti

Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar Kini Pemilik Saham Terbesar KDA FC

Penyokong Terengganu ‘Habiskan’ Semua Tiket Final Piala FA

Pemain Sarawak United Sudah 4 Bulan Tidak Terima Gaji