Skuad Kuala Lumpur City (KL City) terus mengharumkan nama negara apabila mencipta kejutan mara ke final Antara Zon Piala AFC 2022 (AFC Cup) selepas menewaskan kelab India, ATK Mohun Bagan 3-1 di Kolkata.

Lebih manis, ini adalah pencapaian tertinggi dalam sejarah kelab tersebut selepas 30 tahun sepi tanpa sebarang kejayaan.

Dalam perlawanan itu, pengendali KL City, Bojan Hodak meletakkan dua pemain tonggak penting di bangku simpanan iaitu Zhafri Yahya dan Romel Morales. Namun, pemain yang diturunkan dalam kesebelasan utama tetap berjaya laksanakan tugas mereka dengan baik.

Walaupun separuh masa pertama dikuasai oleh Mohun Bagan, tetapi KL City nyaris menjaringkan gol pembukaan menerusi Jordan Mintah pada minit ke 18. Malangnya, percubaan pemain itu dalam kawasan kotak penalti tersasar.

Mohun Bagan juga rancak melancarkan serangan bertubi-tubi namun barisan pertahanan KL City berjaya mengawal dengan cemerlang. Kedua-dua pasukan jelas bermain dengan berhati-hati sekaligus memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, KL City bangkit dengan lebih garang dan kali ini benteng pertahanan Mohun Bagan berada dalam tekanan apabila diuji oleh kelincahan dua pemain sayap lawan, Hadin Azman dan J. Partiban.

Usaha skuad warga kota akhirnya membuahkan hasil apabila Poulo Josue melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti untuk gol pertama pada minit ke 60 sehingga Stadium Salt Lake bertukar sunyi tanpa sorakan penyokong tuan rumah.

https://twitter.com/ElevenSportsSEA/status/1567531155376963587?s=20&t=_eeh2LDLlKysEX7xsp0HMg

Jaringan tersebut turut memberikan semangat tambahan kepada pemain KL City untuk terus memburu gol kedua. Bagi memperkuatkan jentera serangan, Bojan Hodak melakukan pertukaran pemain dengan memasukkan Romel Morales dan Zhafri Yahya menggantikan tempat  Jordan Mintah serta Hadin Azman.

Ketika perlawanan seolah-olah akan berakhir dengan keputusan 1-0 namun Mohun Bagan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Fardin Ali Molla yang menyudahkan situasi kelam kabut dalam kotak penalti pada minit ke 89.

Bagaimanapun, gol penyamaan itu langsung tidak mematahkan semangat pemain KL City dan mereka kembali bangkit menjaringkan dua gol di masa kecederaan menerusi tandukan Fakrul Aiman dan rembatan leret Romel Morales.

Hasil kemenangan 3-1 tersebut, KL City telah menempah tiket ke Final Antara Zon menentang kelab Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh pada 5 Oktober 2022. Mereka tinggal selangkah lagi untuk mara ke final Piala AFC bagi penentuan sebagai juara.

Baca juga artikel lain melalui pautan dibawah: 

Piala AFC 2022: KL City Juara Zon ASEAN, Bawa Pulang 100,000 USD

Penyokong PSM Makassar Cedera Diserang, Cermin Bas Turut Pecah

ACL 2022: Urawa Red Terlalu Unggul, Perjalanan JDT Terhenti Di Saitama