Masalah kewangan yang melanda juara Liga Premier Hong Kong 2019, Wofoo Tai Po FC memaksa kelab itu membuat keputusan untuk menarik diri daripada saingan AFC Cup 2020 pada minggu lepas.

Pada pertengahan April lalu, penaja utama kelab itu, HONGDA gagal menunaikan janji untuk memberikan sumbangan penajaan sehingga menyebabkan kelewatan bayaran gaji pemain dan jurulatih sejak bulan Februari.

Tai Po juga mengesahkan telah berunding dengan penaja baharu pada bulan lepas tetapi kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan bersama. Justeru itu, pihak pengurusan tiada pilihan lain dan terpaksa mengumumkan penarikan diri dalam semua pertandingan pada tahun ini.

Situasi itu menyebabkan kelab ini juga tidak dapat melakukan penampilan pertama dalam saingan AFC Cup setelah tewas 1-5 kepada kelab dari Malaysia, Kedah dalam pusingan kedua Kelayakan AFC Champions League 2020 pada Januari lalu.

60517039_2244149752331633_3339888533555904512_o
Tai Po FC

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam satu kenyataan mengumumkan Kitchee SC sebagai pengganti Tai Po berdasarkan kelayakannya sebagai juara Piala FA Hong Kong pada tahun lepas.

Kitchee akan berada dalam kumpulan I bersama kelab Taiwan, Tatung FC dan kelab Macau, CPK. Satu lagi slot akan ditentukan melalui perlawanan play-off di antara kelab Mongolia, Ulaanbaatar City dengan Taipower FC (Taiwan).

Juara Liga Premier Hong Kong 3 kali itu sudah lama tidak beraksi dalam mana-mana perlawanan kompetitif sejak bulan Mac lalu susulan penularan wabak pandemik COVID-19.

Selain Tai Po FC, tiga lagi kelab yang turut menarik diri daripada Liga Premier Hong Kong 2020 ialah Pegasus, BC Rangers dan Best Union Yuen Long selepas sempat mengharungi 7 perlawanan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Hong Kong melalui pautan dibawah.

Bekas Pemain Pahang Dilantik Sebagai Ketua Jurulatih Kelab Hong Kong, KC Southern FC

COVID-19: Tiga Kelab Umum Tarik Diri, Liga Hong Kong Kini Hanya Tinggal Tujuh Pasukan

Semua Pemain Kitchee SC Dikuarantin Selepas Kakitangan Kelab Positif COVID-19