Ketua jurulatih pasukan Kedah, Aidil Sharin Sahak menegaskan pasukan bimbingannya perlu lebih konsisten dan tidak boleh melepaskan gol setelah mendahului pada perlawanan yang akan datang.

Kedah berjaya mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir Piala FA musim ini meskipun tewas kepada Felda United dengan keputusan 3-2 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tunku Abdul Rahman, Jengka.

Selepas perlawanan tamat, Aidil menegaskan pasukannya perlu belajar daripada perlawanan semalam dan mereka tidak boleh dibolosi selepas berada di hadapan.

“Pertama sekali saya nak ucapkan tahniah kepada pemain saya dan juga Nidzam Jamil serta pasukannya. Mereka memberikan tentangan yang hebat kepada kami.

“Dua pemain iaitu Thiago Aquino dan Hadin Azman memberikan banyak masalah kepada kami. Kami berjaya menguasai separuh masa pertama. Namun, selepas Felda menjaringkan gol pertama mereka, kami sedikit longlai.

“Disini saya tekanan kami perlu belajar dimana kita tidak boleh melepaskan jaringan setelah mendahului dan perlu sentiasa konsisten. Kerana musim ini banyak pasukan yang mempunyai kelebihan awal namun akhirnya mereka kehilangan mata ataupun tersingkir,” kata Aidil.

Aidil Sharin
Sumber Gambar: Kedah FA

Tambah jurulatih dari Singapura itu, matlamat pasukan untuk mara ke perlawanan akhir telahpun tercapai dan beliau tidak peduli dengan kritikan yang dilemparkan terhadap pasukan Kedah.

“Secara keseluruhan, kami boleh meningkatkan lagi persembahan kami. Kami dibolosi dengan tiga gol jadi saya tidak boleh cakap yang kami beraksi dengan baik malam ini.

“Perak mempunyai barisan serangan yang baik dan kami akan berhadapan dengan mereka di pentas akhir. Jadi, Kedah tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama,” tambahnya.

Bekas jurulatih Home United itu menegaskan beliau terpaksa melupakan seketika perlawanan akhir Piala FA dan memberikan fokus kepada saingan Liga Super yang masih berbaki empat perlawanan. Kedah ketika ini menghuni tangga ketiga.

Aidil turut mengucapkan terima kasih kepada peminat yang hadir ke stadium dan memberikan sokongan yang padu kepada pasukannya.