Cristiano Ronaldo meninggalkan Piala Dunia dengan tangisan pada hari Sabtu, di mana dia terus berjalan keluar ke terowong dengan impiannya untuk memenangi trofi itu musnah.

Portugal dianggap sebagai salah sebuah pasukan pilihan memandangkan skuad mereka sangat berkualiti.

Kemungkinan impiannya itu benar benar sekadar impian. Kerana dia memikirkan ini mungkin Piala Dunia terakhir buatnya. Kecualilah Portugal tetap menyertakan namanya 4 tahun lagi dan kemudian mereka menang.

Maghribi memperoleh kemenangan mengejut 1-0 dalam aksi suku akhir ke atas Portugal.

Kegembira negara dari Afrika utara adalah kesengsaraan buat Ronaldo yang tidak dapat menahan tangisan.

Morocco

Piala Dunia 2022 kali ini benar benar bercampur baur antara pahit dan manis buat Ronaldo. Dia menjaringkan gol dalam peringkat kumpulan untuk menjadikan dirinya sebagai pemain pertama dalam sejarah Piala Dunia, menjaringkan gol dalam 5 edisi berbeza.

Namun pada aksi berikutnya, golnya ditarik balik dan diberikan kepada Bruno Fernandes. Sekaligus menggagalkan usahanya untuk menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam Piala Dunia untuk Portugal mengatasi Eusebio.

Ronaldo kemudian direhatkan di bangku simpanan ketika aksi 16 akhir kerana Fernando Santos tak gembira dengan reaksi pemain itu ketika dikeluarkan dalam aksi menentang Korea Selatan.

Ronaldo kemudian melihat penyerang muda Goncalo Ramos menjaringkan hatrik dalam Piala Dunia ketika mereka menang 6-1 ke atas Switzerland.

Walaupun gembira meraikan kemenangan mara ke suku akhir, namun Ronaldo sedar bahawa tempatnya dalam kesebelasan utama sudah musnah.

Dalam aksi suku akhir berdepan Maghribi dia sekali lagi diletakkan di bangku simpanan. Masuk pada pertengahan babak kedua dan gagal menjaringkan gol.

Dengan keputusan lain Ronaldo mungkin meraikan kejayaan menyamai rekod penampilan antarabangsa sepanjang zaman dengan kaps Portugal ke-196, tetapi dia sedih gagal membantu negaranya. Kudratnya sudah tidak seperti dulu.

Sepanjang musim ini dia bergelut dengan prestasi terutama sekali di peringkat kelab. Malah sebelum tiba di Qatar dia sempat terlibat kontroversi dengan menghadiri wawancara dengan Piers Morgan.

Ronaldo kemudian ditamatkan kontrak oleh Manchester United.

Berbalik kepada malam terakhir di Qatar buat Ronaldo, sebaik wisel penamat dibunyikan, Ronaldo pergi menuju ke terowong dengan air mata mengalir, tidak mengendahkan pemain Maghribi kerana dia terlalu sedih dan emosional.

“Jika anda mahu tahu, dua orang yang paling kecewa mungkin Cristiano Ronaldo dan saya sendiri,” kata jurulatih Portugal, Fernando Santos.

“Sudah tentu kami kecewa, sudah tentu ia memberi kesan kepada kami, itu sebahagian daripada permainan ini, itu sebahagian daripada tugas.”

Ronaldo menjuarai Euro 2016 bersama negaranya, walaupun dibawa keluar kerana cedera semasa menang ke atas Perancis pada perlawanan akhir dan menyaksikan dari tepi padang ketika Eder menjadi wira negaranya.

Piala Dunia kekal sebagai impian buat Ronaldo dan negaranya tetapi mereka gagal menentang pakej kejutan Maghribi.

Ditanya sama ada dia menyesali keputusannya untuk meletakkan Ronaldo di bangku simpanan, jurulatih itu menegaskan dia berpuas hati dengan pilihannya.

“Saya tidak menyesal, saya rasa ini adalah pasukan yang bermain dengan sangat baik menentang Switzerland,” tambah Santos.

“Cristiano adalah pemain yang hebat, dia akan masuk ketika saya fikir ia perlu, jadi tidak, saya tidak menyesal.”

Selepas bangkit daripada kekecewaan Piala Dunia, Ronaldo perlu menentukan masa depannya di peringkat kelab.