Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Legenda bola sepak dunia, mendiang Johan Cruyff seperti diketahui meninggal dunia pada usia 68 tahun [24 Mac 2016] di Barcelona setelah beliau menderita penyakit kanser paru-paru.

Selain daripada aksi cemerlang dijelmakanya setiap kali beraksi serta dilabel sebagai pemikir unggul bola sepak terutamanya buat Barcelona , Cruyff turut menyimpan nostalgia yang boleh dianggap kontroversi.

Hal ini kerana Cruyff yang memeterai kontrak penajaan peribadi bersama jenama gergasi, Puma enggan memakai jersi skuad kebangsaan Belanda bagi menghadapi saingan Piala Dunia 1974 di Jerman Barat.

Pendirian tegas perlu diambil Cruyff kerana beliau tidak dibenarkan untuk mempromosikan jenama lain dan lebih menyulitkan lagi keadaan, skuad Belanda pada ketika itu ditaja oleh adidas.

Keadaan itu membuatkan legenda kelahiran Amsterdam itu berkeras tidak mahu memakai jersi keluaran jenama seteru ketat Puma tersebut.

Tidak mahu permasalahan yang timbul menyebabkan Cruyff tidak beraksi dalam kejohanan paling berprestij itu, Persatuan Bola Sepak Diraja Belanda (KNVB) terpaksa akur dengan kehendak kapten berpengaruh skuad bimbingan Rinus Michels tersebut.

Selain itu, KNVB terpaksa tunduk dengan permintaan tersebut berikutan reputasi Cruyff yang cukup hebat kerana bergelar pemenang Ballon d’Or pada tahun 1971, 1973 [kemudiannya memenangi untuk tahun 1974] serta keupayaan Belanda menamatkan penantian 36 tahun untuk kembali beraksi dalam saingan Piala Dunia.

Susulan dengan itu, pihak KNVB telah memujuk supaya adidas mengeluarkan jersi khas dengan membuang satu daripada tiga jalur yang menjadi lambang kebanggaan buat jenama tersebut untuk diberikan kepada Cruyff.

Ketika rakan sepasukannya yang lain seperti Johan Neeskens dan Arie Haan menggunakan set jersi dengan tiga jalur adidas, Cruyyf dengan tenang hanya dengan dua jalur sahaja sepanjang kejohanan diadakan sehingga Belanda melayakkan diri ke perlawanan akhir.

Bagaimanapun, The Oranje tewas pada perlawanan akhir 1-2 ditangan pasukan tuan rumah hasil jaringan Paul Breitner dan Gerd Muller manakala gol saguhati Belanda disumbangkan oleh Neeskens.

Mujur juga tiada logo adidas yang terdapat di mana-mana tempat pada set jersi tersebut, jika ada memang akan menjadi masalah lain pula buat Cruyff dan skuad kebangsaan Belanda.

Kontroversi melibatkan Cruyff dan adidas tidak terhenti di situ sahaja apabila jenama dari Jerman tersebut mengancam untuk mengemukakan saman terhadap syarikat pakaian sukan miliknya, Cruyff Classic pada Mei 2014 kerana meletakkan jersi ‘pelik’ tersebut di inventori syarikat terbabit.

Bagaimanapun, mendiang Johan Cruyff tidak mengendahkan amaran tersebut dan mengatakan jersi tersebut adalah miliknya dan tiada sesiapa pun melihat jersi tersebut keluaran adidas.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Selepas Dua Musim, Safiq Rahim Kembali Ke Pangkuan JDT

MFL: Ingres Technologies Akan Lancarkan Aplikasi Bola Sepak ‘Shoot!’ Dengan Kontrak 5 Tahun

Curran Ferns Nafi Melaka United Sudah Bayar Tunggakan Gajinya

 

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group