Anwar Ridhwan mungkin merupakan nama asing dalam kalangan peminat bolasepak Malaysia, ada antara kita mungkin tidak pernah menyangka jurutera kanan Petronas Carigali di Turkmenistan ini pernah menempa nama sebagai pemain profesional di Liga Malaysia selama dua musim.

Anak kelahiran Kuala Lumpur yang dilahirkan pada 27 November 1988 dan mendapat pendidikan awal di Victoria Institution. Di peringkat sekolah pun beliau telah menunjukkan kehebatan beliau bermain boalsepak dan merupakan kapten bagi MSSKL B-18 Kuala Lumpur bagi Pertandingan Bolasepak MSSM pada tahun 2005 di Kelantan.

“Saya dapat kontrak dengan skuad KL FA untuk Piala Milo B-19 tahum 2006 dan akhirnya masuk skuad Piala Presiden KL FA pada tahun 2007,” ujar Anwar yang bermain sebagai di posisi pertahanan.

Anwar Ridhwan
Anwar Ridhwan

​“Tahun 2006 selepas SPM, saya terus ambil Diploma Kejuruteraan Elektrik di Kolej PTPL secara sepenuh masa. Masa tu memang penat, sebab pagi saya akan berlatih dengan pasukan dua jam kemudian terus masuk kelas. Petang pula, seawal 4.30 petang saya akan terus tinggalkan kelas untuk sambung latihan di Padang DBKL Brickfields bersama pasukan B-19 KL FA,”

​“Nasib baik masa tu pensyarah saya memahami yang saya perlu kejar cita-cita saya dalam pelajaran, saya juga ada cita-cita dalam bolasepak. Setiap Jumaat, saya terpaksa ‘ponteng’ kelas sebab selalunya akan ikut perjalanan pasukan ke negeri-negeri lain. Saya juga dianugerahkan sebagai pelajar terbaik Kejuruteraan Elektrikal Kolej PTPL tahun 2008,” tambah beliau lagi.

​Tahun seterusnya, KDU Damansara datang bersama biasiswa sukan untuk Anwar menyambung pendidikan ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal dalam program twinning dengan Northumbria University dari United Kingdom. Tahun tersebut juga, Anwar masih bermain dengan KL FA dan berjaya menamatkan Liga Perdana musim 2009 di tempat ke-4. Beliau dilepaskan oleh Kuala Lumpur FA ketika KLFA mempersiapkan skuad setelah dipromosi ke Liga Super pada musim berikutnya.

Anwar Ridhwan
Anwar Ridhwan (Kanan)

​“Sime Darby ada datang membawa tawaran ketika mereka baru menubuhkan pasukan untuk bertanding di Liga FAM 2010, tapi saya memilih untuk berehat sebentar kerana fokus kepada pelajaran. Sedih juga masa berehat tu sebab dah biasa pergi negeri lain dan setiap stadium tu ada suasananya yang tersendiri,” Anwar menambah yang beliau juga ada pergi pemilihan percubaan dengan Perak FA pada awal tahun 2011 namun tidak lagi berada dalam kondisi yang terbaik untuk mendapatkan sebarang kontrak.

Tahun 2010, Anwar akhirnya terus memberikan perhatian penuh dalam pendidikan ijazah Sarjana Muda dan menamatkan karier profesional bolasepak beliau pada usia semuda 22 tahun.

​Ketika ditanya sekiranya masih berhubung dengan rakan-rakan lama yang masih bermain, Anwar berkata yang beliau masih kerap berhubung dengan Shahrom Kalam & Hazwan Bakri melalui media sosial Facebook. Shahrom Kalam yang kini merupakan pundit Liga Super dan Hazwan Bakri yang masih merupakan pemain Johor Darul Takzim.

Anwar Ridhwan
Anwar Rihdwan bersama Shahrom Kalam

Anwar kini merupakan Jurutera Kanan Elektrikal bagi Petronas Carigali (Turkmenistan) Sdn. Bhd. sejak Jun 2021. Memulakan kerjaya dalam industri minyak dan gas bersama Petrofac RNZ dan akhirnya ditawarkan bekerja dengan Petronas pada tahun 2012 sebagai Jurutera Penyelenggaraan.

​“Alhamdulillah, sudah lebih 10 tahun dalam industri minyak dan gas. Saya pun telah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 4 tahun. Isteri saya sentiasa menyokong saya sebagai isteri yang baik,” jawab Anwar apabila ditanya mengenai keluarganya.

Ditanya beza perbezaan Liga Malaysia berbanding 10 tahun lalu, Anwar menjawab bolasepak kini adalah lebih teknikal dengan hantaran pendek. Tambah Anwar lagi, 10-11 tahun yang lalu, Johor FC telah memulakan permainan taktikal sebegini.

​“Dari segi kehadiran peminat ke stadium, sekarang rasanya lebih seronok, kalau dulu pasukan seperti Selangor, Kedah atau Kelantan sahaja yang penuh namun sekarang saya rasa kebanyakkan pasukan sudah mempunyai fanbase yang lebih besar,”

Selepas tamat karier bolasepak beliau banyak bermain di liga sosial mewakili pasukan GCF di Kuala Lumpur, selain mewakili Petronas FC semasa bekerja di Sarawak pada tahun 2012 sehingga tahun 2019.

Anwar Ridhwan
Anwar Ridhwan (Duduk berbaju kuning)

“Saya juga aktif bersama Victoria Institution Old Boys Association (VIOBA). Kami banyak menang liga alumni sebab memang VI selalunya akan menghasilkan banyak pemain profesional. Kita pun tahu pemain Mokthar Dahari pun pernah belajar di sini selain Azlan Husin yang pernah bermain di KLFA dan Khairy Zainuddin yang pernah bersama Perlis,” Anwar menyebut beberapa nama alumni Victoria Institution yang pernah menjadi pemain bolasepak profesional.

Ketika ditanya mengenai nasihat kepada pemain muda yang baru ingin memulakan karier, “Kita perlu sentiasa kuatkan diri kita dan bermain sepenuh hati sampai dapat tempat dengan pasukan senior. Kemudian, perlu jaga kewangan dan memang perlu rancang masa depan kita untuk karier selepas bersara dari bermain,” nasihat beliau sebelum mengakhiri temubual bersama Vocket FC.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Benjamin Mora Lega Raih Kejuaraan Lebih Awal

JDT Dedikasi Kejuaraan Liga Super Kali Kelapan Untuk Petugas Barisan Hadapan

Liga Super 2021: JDT Main Bunga Api Lagi, Muncul Juara Kali Kelapan