Penyerang import Terengganu FC (TFC), Tchetche Kipre melaungkan amaran untuk terus menggegar menjelang perlawanan suku akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung pada Sabtu ini.

Pemain dari Ivory Coast itu kini berada di prestasi terbaik apabila berjaya menyumbang enam gol dalam tiga perlawanan Kumpulan A ketika berdepan Kedah, Negeri Sembilan dan terbaru, PKNS FC yang sekaligus mengesahkan mereka ke suku akhir.

Kipre
Sumber Gambar: BH

Justeru dia enggan terleka untuk terus mencipta impak besar kepada pasukan dalam memastikan kemenangan berharga menjadi milik skuad Pantai Timur itu dalam aksi timbal balik suku akhir yang pastinya lebih sengit.

“Bagi saya, perlawanan menentang PKNS FC bukan mudah walaupun kami berjaya jaringkan dua gol pada awal permainan. Untuk saya sendiri, masih belum puas kerana peluang untuk jaringkan gol sebenarnya banyak dan kami tidak berjaya memberi penyudah berkesan.

“Nak hadapi suku akhir nanti bukan mudah dan sudah pasti ia lebih sukar daripada peringkat kumpulan. Jadi, saya sendiri kena lebih bersedia daripada aspek mental dan fizikal untuk terus beri komitmen terbaik bantu pasukan sehingga ke separuh akhir pula,” katanya.

Sementara itu, ketua Jurulatih TFC, Nafuzi Zain menegaskan skuad kendaliannya masih berdepan banyak kerja rumah yang perlu dilakukan menjelang suku akhir pertama nanti.

Nafuzi
Nafuzi Zain

Jelasnya, barisan pemain telah bertungkus lumus mengharungi peringkat kumpulan walaupun turut berdepan dua kekalahan kepada Negeri Sembilan dan Kedah sebelum mara ke suku akhir.

Tempoh masa yang ada perlu dimanfaatkan bagi menilai kembali kelemahan untuk terus bangkit pada aksi hujung minggu ini.

“Bagi saya bukan mudah untuk bangkit semula selepas harungi dua kekalahan untuk menang. Memang banyak peluang kita terlepas di atas padang dalam beberapa perlawanan tapi saya nak pemain belajar daripada kelemahan untuk mereka lebih bijak manfaatkan peluang di suku akhir,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan Terengganu FC di sini:

Nafuzi Zain Optimis Terengganu FC Bangkit

Terengganu FC Siapkan Pengganti Suffian Abdul Rahman