Penyerang import pasukan Terengganu FC, Kipre Tchetche membuktikan bahawa beliau masih lagi relevan untuk mengetuai jentera serangan pasukan dan dikekalkan bagi mengharungi baki saingan musim 2019.

Kipre dikritik hebat apabila beliau gagal untuk menjaringkan sebarang gol dalam 9 perlawanan Liga dan 1 perlawanan Piala FA. Ketua jurulatih pasukan, Irfan Bakti memberikan amaran kepada Kipre dan menyatakan bahawa beliau tidak teragak-agak untuk menggugurkannya bagi digantikan dengan pemain lain.

Namun, nasib beliau berubah apabila menjaringkan satu gol ketika TFC menyingkirkan Kelantan United di pusingan ketiga Piala FA.

Kipre Tchetche
Sumber Gambar: Terengganu FC

Kipre meneruskan rentak cemerlang beliau apabila mencipta jaringan pada tiga perlawanan berikutnya. Terbaru, pemain yang diangkat sebagai ketua pasukan pada saingan musim 2018 ini menjaringkan satu gol ketika membantu TFC menewaskan Pahang pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA 2019.

Prestasi semasa yang ditampilkan oleh Kipre menjadi indikasi jelas bahawa beliau layak untuk dikekalkan sekaligus menjadi pilihan untuk menerajui jentera serangan pasukan bagi baki saingan musim 2019.

Kipre dilihat masih mempunyai kemampuan untuk menyumbang sesuatu bersama Terengganu FC dan beliau perlu diberikan sokongan dan juga kepercayaan untuk menerajui jentera serangan pasukan.