Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Dion Cools mengakui tiada tekanan tambahan buatnya selepas diberikan tanggungjawab untuk menjadi salah seorang daripada tiga ketua pasukan pilihan ketua jurulatih, Kim Pan-gon.

Artikel Berkaitan:

Selepas ketiadaan pemain berpengalaman, Farizal Marlias dan Safiq Rahim bagi menghadapi 48th King’s Cup 2022 di Chiang Mai, Thailand yang akan bermula esok, Dion Cools bersama-sama Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad telah diberikan tugasan untuk memimpin pasukan.

Sebagai seorang pemain yang sudah merasai tekanan dan intensiti beraksi di Eropah, Cools melihat pengalamannya ditagih oleh pengendali dari Korea Selatan itu.

“Saya merasakan dia [Kim Pan-gon] mahu membawa pengalaman saya ke adalam pasukan. Saya juga rasa kami mempunyai hubungan yang sangat baik.”

“Saya rasa dia mempercayai saya dan itulah sebab mengapa saya berada di sini [dalam skuad kebangsaan],” ujar Cools dalam video dikeluarkan FAMTV Malaysia.

“Saya berfikir terutamanya pada posisi yang saya mainkan, saya perlu untuk membimbing dan memberikan sokongan kepada pasukan ini sebaik yang saya boleh lakukan.”

“Saya tidak merasakan tekanan tambahan kerana di Eropah juga saya sentiasa cuba untuk membantu pasukan dari belakang [pertahanan], jadi saya tidak merasakan ia satu beban.”

“Memang menjadi tugas saya sebagai seorang pemain bola sepak untuk membantu pasukan sebaik mungkin yang boleh saya lakukan,” tambah Dion Cools lagi.

Dion Cools dan rakan sepasukannya akan berdepan Thailand pada aksi separuh akhir yang berlangsung esok pada 9.30 malam waktu Malaysia di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai.

Sekiranya berjaya melepasi cabaran sukar tuan rumah itu, skuad negara akan bertemu pemenang antara aksi Trinidad & Tobago dan Tajikistan di aksi final 25 September nanti pada waktu yang sama. Sekiranya tewas, Malaysia akan merebut tempat ketiga dan keempat pada jam 6.30 petang.