Peminat bola sepak tanah air mengkritik persembahan yang ditampilkan oleh pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh pada perlawanan akhir kejohanan empat penjuru iaitu King’s Cup 2022 menentang Tajikistan semalam.

Pada aksi menentang Tajikistan, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon memberikan peluang kepada Sumareh untuk tampil dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Arif Aiman yang beraksi pada perlawanan sebelumnya bertemu Thailand.

Akan tetapi, pemain itu gagal untuk menampilkan prestasi terbaik dimana beliau dilihat sedikit bergelut sekaligus menyebabkan jentera serangan pasukan negara dilihat tumpul dan tidak menghadirkam ancaman kepada kubu pertahanan pasukan lawan.

Detik yang paling mengecewakan apabila Mohamadou Sumareh hampir saja dibuang padang selepas melakukan terjahan berbahaya terhadap pemain lawan iaitu Ehsoni Panshanbe ketika beliau sudah dilayangkan kad kuning sebelumnya.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai, Malaysia terikat tanpa jaringan dengan Tajikistan pada masa sebenar permainan dan perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti bagi menentukan pemenang.

Sebelum itu, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed di pintu gawang skuad negara meneruskan kecemerlangan dalam menafikan tiga percubaan jarak jauh cukup menarik yang dilakukam oleh oleh Mukhammadzhon Rakhimov, Ekhson Pandzhshanbe dan Manuchekhr Safarov.

Anak buah Petar Segrt berpeluang untuk mendapatkan gol kemenangan pada minit ke-84 tetapi jaringan Rustam Soirov dibatalkan oleh pengadil kerana beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Kegagalan tiga pemain negara iaitu Dion Cools, Nazmi Faiz Mansor dan Safawi Rasid menyempurnakan sepakan penalti jelas menghampakan untuk kejuaraan menjadi milik negara Asia Tengah itu walaupun Ahmad Syihan Hazmi berjaya menyelamatkan sepakan pertama Akhtam Nazarov.

Sementara itu, Thailand menduduki tempat ketiga selepas menundukkan Trinidad & Tobago 2-1 hasil jaringan daripada Channarong Promsrikaew dan Suphacok Sarachart.

Selepas aksi di Chiang Mai, pemain akan kembali ke kelab masing-masing dan mereka akan dikumpulkan semula bagi menghadapi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric pada hujung tahun ini.

Pan-gon bakal menilai prestasi semua pemain bersama kelab sebelum mengeluarkan senarai akhir bagi beraksi dalam temasya dwi tahunan itu.