Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) hari ini telah melakukan undian rasmi Kejohanan 4 penjuru, King’s Cup 2022 yang bakal berlangsung di Chiang Mai pada 20 hingga 24 September 2022.

Selain Thailand selaku tuan rumah, 3 pasukan yang turut menyertai King’s Cup 2022 ialah Malaysia (ranking 148), Tajikistan (ranking 109) dan Trinidad & Tobago (ranking 101). Malaysia dan Tajikistan menjadi pilihan kerana mereka juga turut layak ke Piala Asia 2023 secara merit.

Manakala Trinidad & Tobago pernah beraksi dalam saingan Piala Dunia 2006 di Jerman dan merupakan juara Piala Carribean sebanyak 10 kali.

Polisi FAT kali ini mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa di luar ibu kota, Bangkok. Ini kerana mereka mahu memberi peluang kepada rakyat di setiap wilayah untuk menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan.

Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon telah diundi bertemu Thailand manakala Trinidad & Tobago bakal berentap dengan Tajikistan. Kedua-dua perlawanan ini berlangsung pada 22 September.

Mengikut jadual, Harimau Malaya akan menentang tuan rumah pada pukul 9.30 malam waktu Malaysia. Pemenang perlawanan ini akan bertemu Trinidad & Tobago atau Tajikistan di perlawanan akhir yang berlangsung pada 25 September.

Manakala pasukan yang tewas, akan berentap dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat. Semua keputusan perlawanan ini memberi pulangan mata ranking FIFA kerana diiktiraf sebagai Persahabatan Antarabangsa Tier 1.

Berdasarkan rekod, Malaysia pernah muncul juara dalam empat edisi King’s Cup iaitu pada tahun 1972, 1976, 1977 dan 1978.

Presiden FAT, Somyot Phumphanmuang sebelum ini mengumumkan Thailand tidak akan menurunkan pasukan bawah 23 tahun untuk King’s Cup sebaliknya bakal menyenaraikan barisan terkuat dibawah kendalian Mano Polking sebagai persiapan menghadapi Piala AFF 2022 serta Piala Asia 2023.