Legenda bola sepak Jepun, Kazuyoshi Miura atau lebih dikenali dengan panggilan ‘King Kazu’ jelas masih mahu menikmati karier hebatnya dalam bola sepak dan tidak langsung memikirkan tentang persaraan.

Bukan sahaja masih mampu beraksi dalam 18 perlawanan serta menjaringkan dua gol ketika dipinjamkan ke pasukan Liga Bolasepak Jepun (Divisyen 4), malah beliau telah mengambil langkah drastik untuk kembali berhijrah ke Eropah.

Kali terakhir beraksi di Eropah pada tahun 1999 ketika menyarung jersi Dinamo Zagreb, Miura dilaporkan menyertaiย UD Oliveirense secara pinjaman daripada Yokohama FC hingga tamat musim.

Perkembangan terkini mengenai destinasi baharu pemain yang akan mencecah usia 56 tahun pada 26 Februari itu disahkan oleh laman Twitter rasmiย kelab Liga Portugal 2 tersebut.

Difahamkan, Olivereinse dimiliki oleh Onodera Group pada November 2022 ย yang mana kumpulan tersebut turut merupakan pemilik bagi Yokohama FC.

Tinjauan dibuat di laman Twitter kelab tersebut, sebahagian besar penyokong UD Oliveirense kelihatan cukup teruja untuk menantikan kelibat penyerang veteran itu di atas padang.

Memegang status selaku pemain tertua yang beraksi dalam kancah bola sepak profesional, King Kazu pernah berhasrat untuk beraksi sehingga usianya menjengah 60 tahun.

Meskipun lahir di Shizouka, Kazuyoshi Miura memulakan karier profesionalnya bersama kelab ternama Brazil, Santos pada 1986 dimana ketika itu beliau baharu berusia 19 tahun.

Empat tahun kemudiannya beliau pulang ke kampung halaman untuk menyarung jersi Tokyo Verdy dan selepas itu segalanya menjadi kisah luar biasa buat beliau sehingga ke hari ini.

Satu pencapaian peribadi yang pastinya akan sentiasa meleburkan rekod serta sejarah bola sepak dun ia setiap kali beliau beraksi selepas ini.