Ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon teruja dengan perubahan yang dialami oleh pemain sayap, Safawi Rasid sejak beraksi bersama Ratchaburi dalam saingan Liga Thailand musim 2022/2023.

Dalam satu wawancara baru-baru ini, Pan-gon mendedahkan beliau melawat Safawi dan teruja setelah melihat pemain itu kembali menikmati bola sepak dan mempunyai tahap kecergasan yang tinggi berbanding sebelum ini.

Kim Pan-gon Safawi Rasid
Sumber Gambar: Ratchaburi

“Saya pergi ke Thailand untuk melihat pemain negara di sana. Saya ingin bertemu Junior Eldstal namun beliau harus menemani isterinya yang melahirkan anaknya yang baru lahir. Tapi saya gembira melihat Safawi kerana saya sudah lama tidak melihat beliau beraksi selama 90 minit.

“Beliau berdepan permulaan yang sukar di sana. Namun kini semua berada dalam keadaan yang baik. Saya teruja kerana beliau sudah menurunkan berat badan, yang mana satu petanda positif. Saya boleh nampak Safawi Rasid gembira. Jadi saya harap beliau mengekalkan prestasi,” kata Kim Pan-gon.

Tambah jurulatih dari Korea Selatan itu, masalah utama Safawi ialah mencari makanan halal di Ratchaburi kerana rata-rata penduduk di sana bukan beragama Islam.

Kim Pan-gon Safawi Rasid
Sumber Gambar: Ratchaburi

Sebelum ini, Pan-gon menegaskan beliau berpuas hati dengan peningkatan yang ditampilkan oleh pasukan negara sejak beliau dilantik sebagai ketua jurulatih pada tahun lalu.

Dalam satu temu bual baru-baru ini, Pan-gon mengakui tekanan merupakan cabaran terbesar apabila mengendalikan skuad Harimau Malaya namun beliau tetap berpuas hati dengan hasil yang diraih setakat ini.

“Sejak saya datang ke Malaysia, ada banyak tekanan khususnya selepas pasukan negara gagal melepasi saingan peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2020. Saya membawa staf kejurulatihan saya dan mereka turut berdepan tekanan sejak hari pertama.

“Mereka telah bekerja keras, memenuhi kehendak saya serta memastikan pasukan ini bermain dengan cara yang sesuai. Kini, kami bermain dengan agresif dan mampu untuk menguasai permainan. Fokus utama ialah memberi tekanan awal dan menyerang secara cepat. Saya gembira pemain dapat menyesuaikan diri dengan corak ini,” katanya.