Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon telah menemui seorang lagi pemain pertahanan tempatan berkualiti untuk diserapkan dalam pasukannya bagi menghadapi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 pada hujung bulan ini.

Perkembangan itu didedahkan oleh ketua jurulatih skuad bawah 23 kebangsaan (B-23), E. Elavarasan yang berkata ada 3 pemain muda daripada pasukannya telah dipanggil menyertai sesi latihan skuad Harimau Malaya.

Salah seorang daripadanya ialah Muhammad Aliff Najmi Shaaini yang beraksi bersama Kelantan United dalam saingan Liga Premier musim ini.

Menurut Elavarasan, Aliff berpotensi untuk sarung jersi Harimau Malaya kerana memiliki kualiti yang diperlukan oleh Kim Pan-gon berdasarkan aksinya dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini.

Bagaimanapun, Elavarasan tidak mendedahkan nama dua lagi pemain muda kerana masih berada dalam pemantauan jurulatih.

“Ada satu pemain yang diserap ke skuad senior iaitu Aliff Najmi Shaaini  semasa kita menentang skuad senior baru-baru ini.

“Saya rasa dia ada potensi (sarung jersi Harimau Malaya) namun semua bergantung pada perkembangan beliau dalam masa setahun ini.

“Mungkin ada lagi dua pemain akan dihantar untuk sertai skuad senior selepas kem latihan ini untuk pendedahan,” jelas Elavarasan.

Tambah Elavarasan, Aliff memiliki ketinggian dan fizikal yang baik sebagai seorang pemain pertahanan dan beliau dijangka akan ‘meletup’ dalam masa 1-2 tahun lagi.

Selain itu, beliau turut menjelaskan sebab-sebab ketiadaan pemain yang berpengkalan di Belgium iaitu Luqman Hakim dalam kem latihan pusat kali ini. Difahamkan, kelabnya, KV Kortrijk tidak melepaskannya kerana perlu terlibat dalam banyak perlawanan kompetitif.

“Kita ada call up beliau tapi kelab dia tak lepaskan sebab beliau ada banyak perlawanan kompetitif. Kita juga pernah panggil untuk skuad senior sebelum ini tapi kelab tidak melepaskannya,” kata Elavarasan.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Kemboja pada 9 Disember 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum menentang Maldives bagi aksi kedua pada 14 Disember 2022 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Seterusnya ketua jurulatih, Kim Pan-gon akan menamakan senarai akhir 23 pemain yang dibawa ke Piala AFF 2022 yang mana bagi kempen Kumpulan B, Malaysia akan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember 2022, Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember 2022, Vietnam di Hanoi pada 27 Disember 2022 dan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari 2023.