Semalam, Ketua Jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon telah mengumumkan senarai 30 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat bermula Isnin, 14 Mac 2022 sebagai persiapan awal menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023.

Seramai 15 pemain dari skuad 24 pemain Harimau Malaya ke Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura pada Disember lalu dipanggil semula untuk kem latihan pusat pertama di bawah kendalian Pan Gon ini.

Mereka terdiri daripada Syahmi Safari, Aidil Zafuan Abd Radzak, Shahrul Saad, Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Khairulazhan Khalid, Quentin Cheng, Faisal Halim, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Kogileswaran Raj, Syafiq Ahmad, Dominic Tan, Luqman Hakim Shamsudin dan Dion Cools.

Lebih menarik, pemain berpengalaman, Safiq Rahim turut disenaraikan bersama dua pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi. Antara muka baharu yang menyertai skuad kali ini ialah Khair Jones, Sharul Nazeem, Rahadiazli Rahalim, Ramadhan Saifullah, Hakimi Abdullah dan Hong Wan.

Skuad Kebangsaan

Menurut Pan Gon, pemilihan pemain adalah berdasarkan prestasi semasa Liga Malaysia dan maklumat tambahan kepada statistik lepas serta jumlah minit permainan dalam perlawanan antarabangsa dari tahun 2019 hingga 2021.

“Berdasarkan perlawanan liga, kami telah mengenal pasti hampir 70 pemain sebelum mengurangkannya kepada pemain-pemain yang kami percaya sesuai dengan falsafah permainan dan pelan taktikal kami.

“Mungkin tidak 100 peratus tepat, tetapi kami akan menganalisa keupayaan mereka dari segi teknikal, taktikal dan tingkah laku profesionalisme,” jelasnya.

Objektif jangka pendek kem latihan pusat ini adalah menyediakan pemain untuk menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 pada bulan Jun nanti dengan visi jangka panjangnya ialah membina satu model permainan pasukan Malaysia (gaya permainan Malaysia) dan mencari semula keyakinan pasukan.

Kim Pan Gon juga mahu mewujudkan semangat berpasukan yang kuat dan setiap pemain mempunyai mentaliti untuk menang.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

RASMI: Elavarasan Jadi Pilihan Kim Pan Gon Sebagai Penolong Jurulatih

Dion Johan Cools Tidak Sabar Beraksi Di Hadapan Penyokong Harimau Malaya

Tengku Amir Harap Skuad Harimau Malaya Raih Banyak Kejayaan Dibawah Kendalian Kim Pan-gon