Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon telah memanggil pemain dari skuad B-23 kebangsaan, Aliff Izwan Yuslan untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya yang dalam persiapan menghadapi Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Pemain tersebut telah menarik perhatian Pan Gon ketika skuad Harimau Malaya mengadakan sesi latihan bersama dengan skuad B-23 kebangsaan kendalian E. Elavarasan pada 30 November dan 1 Disember lalu serta perlawanan latihan membabitkan kedua-dua pasukan pada 2 Disember lalu.

Malah selepas berakhirnya kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan selama 10 hari dari 27 November lalu yang berakhir hari ini, Elavarasan selaku ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan dan juga penolong jurulatih Harimau Malaya turut memberi rekomendasi kepada Pan Gon untuk penyenaraian pemain ini ke skuad senior.

Seramai 28 pemain menjalani latihan pusat Harimau Malaya di Wisma FAM.

Pemain yang berusia 18 tahun itu merupakan penyerang Selangor FC 2 akan melapor diri ke kem latihan pusat Harimau Malaya pada Rabu, 7 Disember 2022 bersama-sama penjaga gol, Rahadiazli Rahalim dari Terengganu FC yang namanya memang tersenarai dalam skuad senior.

Kehadiran Aliff Izwan juga adalah bagi menggantikan tempat pemain sayap dari Terengganu FC, Faiz Nasir yang mengalami masalah kesihatan, sekali gus tidak dapat meneruskan latihan pusat bersama skuad Harimau Malaya biarpun telah hadir melapor diri pada 29 November lalu.

Dengan perkembangan terbaharu ini, jumlah pemain yang berada dalam kem latihan pusat skuad Harimau Malaya ketika ini ialah seramai 28 pemain termasuk Dion Cools yang akan melapor diri pada 16 Disember ini.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Kemboja pada 9 Disember 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum menentang Maldives bagi aksi kedua pada 14 Disember 2022 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Seterusnya Kim Pan-gon akan menamakan senarai akhir 23 pemain yang dibawa ke Piala AFF 2022 yang mana bagi kempen Kumpulan B, Malaysia akan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember 2022, Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember 2022, Vietnam di Hanoi pada 27 Disember 2022 dan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari 2023.