Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pelantikan Kim Pan Gon dari Republik Korea sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan, Harimau Malaya bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tan Cheng Hoe.

Menurut kenyataan rasmi daripada Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, jurulatih yang berusia 53 tahun itu akan memanggil pemain ke kem latihan pusat yang pertama pada bulan bulan Mac 2022.

“Pan Gon dijangka tiba di Malaysia pada awal Februari 2022 bersama-sama empat pembantunya iaitu seorang penolong jurulatih, seorang jurulatih penjaga gol, seorang jurulatih kecergasan dan seorang juruanalisis.

“Beliau dan barisan kejurulatihannya selepas itu akan mula memantau pemain-pemain sebaik saingan Liga Malaysia 2022 bermula bagi panggilan pertama kem latihan pusat pada Mac 2022 sebagai persiapan awal menjelang Kelayakan Piala Asia 2023, Jun depan,” kata Hamidin.

Pan Gon sebelum ini merupakan ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong dari 2009-2010 dan 2012-2017.

FAM berasakan Pan Gon merupakan calon terbaik untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya berdasarkan pengalaman luas beliau sebagai jurulatih di peringkat kelab dan pasukan kebangsaan, selain berada dalam sistem pasukan kebangsaan Republik Korea dalam tempoh empat tahun terakhir ini.

“Pemilihan Pan Gon ini dibuat selepas penilaian menyeluruh ke atas calon-calon dari pelbagai negara termasuk dari Jepun, negara-negara Eropah dan Amerika Latin serta dalam negara,” jelas Hamidin.

Berdasarkan rekod, Pan Gon berjaya membimbing Hong Kong cipta sejarah buat pertama kalinya meraih pingat emas pada East Asian Games 2009 dan seterusnya menjuarai saingan kelayakan East Asian Football Championship 2010 untuk layak selaku empat pasukan terbaik ke pusingan akhir.

Selain itu juga, sepanjang saingan Kumpulan C, Kelayakan Piala Dunia 2018 yang berlangsung pada 2015 dan 2016, Pan Gon berjaya menghasilkan empat kemenangan daripada lapan perlawanan yang mana dua keputusan seri berjaya dicatat Hong Kong ketika berdepan China, sekaligus membuktikan bahawa beliau mempunyai kredibiliti dan sentuhan untuk membawa pasukan bimbingannya menandingi pasukan lawan yang lebih kuat.

Hong Kong ketika dibawah kendalian Pan Gon juga pernah dua kali bertemu skuad Harimau Malaya pada 2017 yang ketika itu dibimbing Nelo Vingada pada saingan Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 yang mana aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka berkesudahan seri 1-1 dan aksi di Hong Kong, Malaysia tewas 2-0.

Pan Gon sebagai Pengarah Pasukan Kebangsaan KFA sebenarnya merupakan individu penting yang bertanggungjawab dalam pelantikan ketua jurulatih Republik Korea, Paulo Bento dari Portugal dan ketika ini, negara berkenaan dalam kedudukan terbaik untuk layak ke Piala Dunia 2022 dengan rekod tanpa kalah sepanjang saingan kelayakan akhir dengan berbaki empat perlawanan lagi.

Kemampuan Pan Gon yang fasih berbahasa Inggeris memudahkan beliau untuk berkomunikasi dengan staf kejurulatihan, pegawai, pemain dan media, selain beliau juga memiliki pengetahuan serta cukup memahami budaya bola sepak di Asia dan juga Asia Tenggara.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

FAM Dapat RM10 Juta Daripada Kerajaan Untuk Pembangunan Bola Sepak

Scott O’Donell Mahu FAM Lantik Jurulatih Import Untuk Skuad Harimau Malaya

Shukor Adan Antara 6 Individu Yang Dipilih Sertai Pasukan Bedah Siasat Laporan Prestasi Harimau Malaya