Baru-baru ini, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon telah memanggil 30 pemain yang akan menyertai kem latihan pusat bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 (FAS Tri-Nations Series 2022) bertemu Filipina (23 Mac) dan Singapura (26 Mac) serta satu lagi perlawanan persahabatan bertemu kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC Singapore pada 28 Mac 2022, dimana ketiga-tiganya perlawanan berlangsung di Singapura.

Senarai kali ini nyata menerima reaksi yang pelbagai khususnya dari peminat bola sepak tanah air dan Kim Pan-gon meminta agar semua pihak bersabar.

“Saya faham mengenai sentimen yang ada namun saya meminta agar semua pihak bersabar. Saya tak boleh pilih 50 hingga 60 pemain dalam satu-satu masa.

“Saya pilih pemain berdasarkan teknikal, tektikal dan tahap profesionalisma mereka. Ini bukan pemilihan untuk pasukan all stars, tetapi ini adalah pemilihan untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan.

“Keputusan saya juga berdasarkan filosofi permainan saya. Saya tak boleh cakap saya 100 peratus betul, tetapi saya mahu memaksimumkan potensi pemain yang telah beraksi bersama pasukan negara sejak 2019 hingga 2021.

“Selepas perlawanan persahabatan, saya akan cuba yang terbaik dalam memantau pemain dan berhubung langsung dengan jurulatih dalam saingan Liga Malaysia,” katanya.

Seramai 15 pemain dari skuad 24 pemain Harimau Malaya ke Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura pada Disember lalu dipanggil semula untuk kem latihan pusat pertama di bawah kendalian Pan-gon ini.

Kim Pan-gon
Sumber Gambar: FAM

Selain itu, beberapa pemain yang sebelum ini sentiasa menjadi pilihan utama membarisi skuad negara kembali dipanggil semula seperti Farizal Marlias, Corbin-Ong, Mohamadou Sumareh dan Syamer Kutty Abba.

Kehadiran semula perancang kreatif, Safiq Rahim bersama Nathaniel Shio Hong Wan juga dilihat menambah pilihan berkualiti buat Pan Gon di jentera tengah.

Bagi kem latihan pusat kali ini, skuad Harimau Malaya akan turun menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil selama lapan hari bermula Isnin, 14 Mac 2022 sebelum dijadual berlepas ke Singapura pada 22 Mac 2022.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Kim Pan Gon Pilih Pemain Yang Sesuai Dengan Falsafah Permainan Dan Pelan Taktikalnya

Lima Pemain Yang Wajar Dipanggil Menyertai Pasukan Kebangsaan

Safiq Rahim Kembali Dipanggil Perkuatkan Skuad Kebangsaan