Terkejut dengan keputusan Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang mahu berundur daripada mengendalikan Johor Darul Ta’zim, ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon lantas menggesa bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu untuk pertimbangkan semula keputusannya.

“Saya harap Tunku Ismail mempertimbangkan semula keputusannya. Bagi saya, ini adalah satu kerugian amat besar kepada bola sepak Malaysia jika Tunku Ismail memutuskan untuk keluar daripada dunia bola sepak.

“Dalam masa kurang sedekad, Tunku Ismail berjaya membawa JDT ke tahap lebih tinggi selari dengan semangat cintakan bola sepaknya yang mendalam. Lantaran itu, bola sepak Malaysia sememangnya perlukan TMJ,” kata Kim Pan-gon.

Malah sebelum ketibaannya di Kuala Lumpur lagi, Pan Gon sudah tahu dan sedar akan pengaruh besar Tunku Ismail terhadap bola sepak Malaysia.

“Tunku Ismail meletakkan JDT ke tahap yang membolehkan kelab itu layak bermain dalam Liga Juara-Juara Asia.

“Terima kasih kepada sumbangan Tunku Ismail ini yang mana JDT telah mendapat pengiktirafan di seluruh Asia sekaligus membantu meningkatkan taraf bola sepak kelab di Malaysia.

“Mentaliti kemenangan diterapkan Tunku Ismail adalah penting untuk melaksanakan perubahan dalam bola sepak tempatan,” kata Pan Gon.

Pan Gon berkata Tunku Ismail perlu kekal bukan sahaja demi kelabnya tetapi untuk kepentingan pasukan kebangsaan juga.

“Di bawah kendaliannya, JDT telah menyalurkan lebih 15 pemain kepada pasukan kebangsaan malah lebih ramai pemain baru yang lebih baik sedang dalam persiapan.

“Tunku Ismail sentiasa menyokong pasukan kebangsaan sejak awal lagi dan kami amat menghargai jasanya.

“Malah sebelum kedatangan saya, saya juga sudah mengetahui akan kemudahan dan infrastruktur latihan JDT adalah bertaraf Eropah. Kami menghargai tawaran Tunku Ismail untuk Harimau Malaya berlatih di Johor. Dengan infrastruktur yang ada, mereka yang berlatih di sana boleh mendapat manfaat daripada kemudahan terkini. Pada sudut pandangan peribadi saya, ia dilihat sebagai satu lagi sumbangan JDT kepada bola sepak Malaysia,” katanya.

Tambah Pan Gon, dengan prestasi disumbang JDT ini, ia membantu meningkatkan lagi profil bola sepak Malaysia terutama di sudut pembangunan dan penjenamaan bola sepaknya yang mampu dijadikan contoh kepada kelab bola sepak negeri.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

TMJ Umum Undur Diri Daripada Kendalikan JDT

Guilherme De Paula Gesa Peminat Banjiri SNBJ Pada Aksi Bertemu Bahrain

Analisis: ‘Front 4’ Malaysia Menyusahkan Turkmenistan Dengan Intensiti Dan Pressing