Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon bakal menyertai siri Perlawanan Antarabangsa Tier 1di Chiang Mai, Thailand dari 20 hingga 26 September 2022 bersama tiga pasukan lain iaitu tuan rumah Thailand, Tajikistan dan Trinidad & Tobago.

Follow VOCKET di Telegram untuk isu isu viral terkini

Ia adalah kejohanan 4 penjuru yang dikenali sebagai King’s Cup 2022.

Berbanding Malaysia yang kini di ranking ke-147 dunia, tiga pasukan yang lain berada pada kedudukan lebih tinggi dalam Ranking FIFA dengan Thailand di kedudukan ke-111, Tajikistan ke-108 dan Trinidad & Tobago ke-101 dunia.

Malaysia
FOTO: FAM

Bagi Pan Gon, peluang berdepan pasukan-pasukan yang lebih baik dan berada pada kedudukan ranking lebih atas itu sudah pasti akan digunakan sepenuhnya oleh beliau dan anak-anak buahnya untuk meningkatkan lagi prestasi dan kualiti permainan skuad Harimau Malaya.

Para pemain skuad Harimau Malaya akan kembali berkumpul dalam kem latihan pusat mulai 15 September 2022 sebelum berangkat ke Thailand.

“Selepas berjaya layak ke Piala Asia 2023 pada Jun lalu, kita perlu terus fokus dan memandang ke hadapan dengan permulaan dua perlawanan antarabangsa pada September ini, seterusnya Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 pada Disember untuk perjalanan persiapan bagi menghadapi Piala Asia, tahun depan.

“Selain mahu mendapatkan keputusan positif daripada dua perlawanan di Chiang Mai nanti, saya mahu menggunakan peluang ini untuk memperkemaskan lagi corak dan filosopi permainan ke tahap yang lebih baik dan sempurna,” kata Pan Gon dalam laman facebook rasmi FAM.

Berdasarkan format perlawanan membabitkan empat pasukan ini iaitu secara kalah mati, dua perlawanan separuh akhir akan berlangsung. Seterusnya, dua pasukan yang menang akan bertemu pada final manakala dua pasukan yang tewas akan beraksi perlawanan penentuan tempat ketiga.

Perlawanan antarabangsa anjuran Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) ini akan diadakan di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai.

Berdasarkan rekod, Malaysia pernah muncul juara dalam empat edisi King’s Cup iaitu pada tahun 1972, 1976, 1977 dan 1978.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Malaysia Antara 4 Pasukan Terbaik Dunia Alami Kenaikan Mendadak Dalam Ranking FIFA

Kim Dong-jin Bakal Jurulatih Baharu Skuad Malaysia B-23?

Christophe Gamel Sedia Isi Jawatan Ketua Jurulatih Skuad B-23 Malaysia