Ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon melantik pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid sebagai salah seorang daripada tiga ketua pasukan skuad kebangsaan.

Dalam satu pengumuman yang dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini, Safawi dipilih sebagai salah seorang kapten bersama dua lagi pemain iaitu Syafiq Ahmad dan Dion Cools.

“Kim Pan Gon telah melantik Safawi Rasid sebagai salah seorang daripada tiga kapten skuad Harimau Malaya bersama-sama Syafiq Ahmad dan Dion Cools bagi menghadapi 48th King’s Cup 2022 di Chiang Mai, Thailand, 22 hingga 25 September ini.

“Syafiq dan Dion sebelum ini bersama-sama penjaga gol, Farizal Marlias dan Safiq Rahim merupakan empat kapten Harimau Malaya ketika kempen Kelayakan Piala Asia 2023, Jun lalu.

“Tetapi dengan ketiadaan Farizal dan Safiq bagi kem latihan pusat kali ini, Safawi telah dinamakan sebagai pengganti untuk membentuk gandingan tiga kapten Harimau Malaya untuk ke Chiang Mai,” dipetik dari kenyataan FAM.

Safawi dan Syafiq merupakan pemain yang mempunyai pengalaman luas bersama pasukan negara dan pemilihan kedua pemain ini nyata mendapat sambutan baik daripada peminat.

Bagi Dion, beliau menyertai pasukan negara pada tahun lalu namun Pan-gon pernah memberikan tanggungjawab kepada pemain berusia 26 tahun itu untuk menjadi ketua pasukan ketika aksi kelayakan Piala Asia 2023 menentang Bangladesh.

Safawi Rasid
Sumber Gambar: PFA Malaysia

Skuad Harimau Malaya akan turun menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya dari 16 hingga 19 September 2022, sebelum berlepas ke Chiang Mai untuk berdepan tuan rumah, Thailand bagi hari perlawanan pertama pada Khamis, 22 September 2022, jam 8.30 malam (9.30 malam waktu Malaysia) di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai. Satu lagi perlawanan menemukan Trinidad & Tobago dan Tajikistan akan berlangsung di stadium sama, jam 5.30 petang (6.30 petang waktu Malaysia).

Seterusnya bagi hari perlawanan kedua di venue yang sama pada Ahad, 25 September 2022, kedua-dua pasukan yang kalah perlawanan pertama akan beraksi perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat pada jam 5.30 petang (6.30 petang waktu Malaysia) manakala dua pasukan yang menang perlawanan pertama akan bertemu di pada aksi final jam 8.30 malam (9.30 malam waktu Malaysia).