Ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon mendedahkan Turkmenistan mahu membalas dendam di atas kekalahan di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika aksi kelayakan Piala Asia 2024 tahun lalu.

Pasukan negara akan bertemu Turkmenistan serta Hong Kong dalam satu aksi persahabatan antarabangsa pada bulan Mac nanti dan perlawanan menentang dua pasukan ini bakal diadakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Pan-gon menilai aksi di SSI nanti bakal digunakan dengan sebaiknya dimana sasaran yang beliau letakkan ialah mengutip mata daripada dua perlawanan terbabit untuk menaikkan ranking pasukan negara.

Kim Pan-gon
Sumber Gambar: FAM

“Pada bulan Mac nanti kita telah menjemput Turkmenistan dan Hong Kong untuk perlawanan persahabatan. Turkmenistan berada di atas kita dan mereka adalah satu pasukan yang baik. Saya dengar mereka mahu membalas dendam ke atas pasukan negara.

“Mereka kecewa kerana tewas di tangan kita sewaktu di Bukit Jalil. Oleh itu, kami akan terima cabaran tersebut. Bagi Hong Kong pula, mereka memberitahu saya sewaktu saya bercuti di sana yang mereka boleh menewaskan Malaysia ketika perlawanan persahabatan pada Jun lalu.

“Jurulatih Hong Kong mengatakan ketika itu mereka tidak membawa pemain terbaik. Kali ini, mereka bakal membawa barisan pemain terbaik. Saya rasa dua perlawanan ini akan menjadi satu aksi yang kompetitif dan ini bagus untuk kami,” kata Kim Pan-gon.

Bagi perlawanan persahabatan bulan Jun, pasukan negara berkemungkinan besar bakal menentang dua pasukan dari Asia Barat manakala untuk bulan September, Kim Pan-gon mahu membawa skuad kebangsaan beraksi di luar negara.

Perlawanan persahabatan tahun ini yang berlangsung di dalam kalendar FIFA mahu digunakan dengan sebaiknya oleh pasukan negara bagi mempersiapkan pasukan menjelang Piala Asia 2024 selain memperbaiki ranking FIFA.