Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mendedahkan sebab beliau memilih Kemboja dan Maldives sebagai lawan yang akan dihadapi dalam siri perlawanan pemanas badan bertaraf Tier 1 menjelang Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Malaysia akan bertemu Kemboja pada 9 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Maldives pula menanti berselang lima hari kemudian pada aksi yang bakal berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Mungkin ramai berpendapat ia bukanlah pilihan tepat kerana kedua-dua pasukan tersebut berada di ranking yang lebih rendah berbanding Malaysia. Kemboja pada ketika ini menghuni tangga ke-177 manakala Maldives di kedudukan ke-154.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Korea Selatan sudah pastinya mempunyai alasan beliau yang tersendiri mengapa beliau memilih untuk berhadapan dengan kedua-dua negara tersebut.

“Selepas turut berbincang dengan beberapa pasukan lain serta melakukan penilaian secara dalaman dari pelbagai aspek, akhirnya keputusan dibuat untuk menerima pelawaan daripada pasukan kebangsaan Kemboja dan Maldives untuk dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 ini.”

“Biarpun kedua-dua pasukan ini berada di kedudukan lebih rendah berbanding skuad Harimau Malaya, pemilihan ini adalah berpandukan susunan perjalanan pasukan di sepanjang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 nanti,” ujar Pan-gon menurut kenyataan yang dikeluarkannya di Facebook rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Kemboja merupakan salah satu pasukan dari Kumpulan A yang mana pemilihan pasukan ini sebagai lawan pada perlawanan pemanas badan dilihat bersesuaian dalam usaha kita untuk mengenal pasti perkara-perkara yang perlu diperbaiki selepas pasukan kembali berkumpul untuk kem latihan pusat.”

“Kita telah bermain perlawanan menentang Thailand dan Filipina tahun ini dan percaya Kemboja akan menjadi pilihan lawan yang baik untuk persiapan kita kali ini.”

“Bagi pertemuan dengan Maldives, lawan yang biarpun bukan dari Asia Tenggara tetapi merupakan juara dua kali Piala Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan (SAFF) pada 2008 dan 2018, selain memiliki corak permainan yang hampir sama dengan pasukan-pasukan Asia Tenggara yang lain.”

“Selain itu, Maldives memenangi kedua-dua perlawanan mereka ketika FIFA Days pada September dan merupakan salah satu pasukan terbaru yang telah menentang Laos, pasukan yang akan kita hadapi pada kejohanan nanti.”

“Sudah pasti kedua-dua perlawanan pemanas badan ini dilihat bersesuaian dengan persiapan skuad Harimau Malaya terutama menjelang dua perlawanan awal Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bertemu Myanmar dan Laos, sebelum menentang Vietnam dan Singapura,” tambah Kim Pan-gon lagi.