Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon memulakan kem latihan pusat di Johor Bahru, semalam sebagai persiapan menghadapi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Turkmenistan dan Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Peminat bola sepak tempatan cukup teruja melihat barisan pemain yang menyertai pasukan kebangsaan kali ini kerana terdiri gabungan tempatan, kacukan serta kehadiran dua pemain naturalisasi baharu iaitu Paulo Josue dan Endrick Dos Santos.

Namun begitu, kehadiran pemain kacukan Malaysia-Finland, Nooa Laine paling menjadi bualan dalam kalangan peminat.

Pemain yang berusia 21 tahun itu pernah dipanggil menyertai kem latihan skuad bawah 22 tahun negara. Bagaimanapun, beliau tidak dapat beraksi dalam saingan Sukan SEA tahun lepas disebabkan masalah dokumentasi.

Pengendali negara, Kim Pan Gon kemudian memanggil semula pemain yang berpangkalan di kelab SJK Seinajoki, Liga Finland itu kerana memiliki ciri-ciri pemain berkualiti apabila kerap memantaunya menerusi rakaman video.

“Dia pemain muda tapi berpengalaman apabila beraksi di divisyen pertama di Finland malah saya lihat pemain itu berpotensi terutama bermain di posisi tengah bertahan dan kekuatan tersendiri apabila kerap beri tekanan terhadap pemain lawan dan kualiti itu yang saya inginkan,” kata Pan Gon dipetik dalam Berita Harian.

Berdasarkan senarai pemain yang dipanggil, Pan Gon telah mengekalkan seramai 9 daripada 23 pemain yang telah membawa skuad Harimau Malaya layak ke separuh akhir Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 pada Januari lalu.

Antara pemain baharu tempatan dipanggil kali ini ialah penjaga gol, Damien Lim dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman; Fayadh Zulkifli Amin, Daniel Ting, dan Feroz Baharudin.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Turkmenistan pada Khamis, 23 Mac 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, 10.00 malam sebelum menentang Hong Kong bagi aksi kedua pada Selasa, 28 Mac 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, 10.00 malam.

Ayuh sama-sama kita menyokong skuad Harimau Malaya dengan menonton perlawanan antarabangsa yang disiarkan di TV9. Anda juga boleh menonton menerusi saluran Unifi TV 109, Astro 149 dan strim di tonton!