Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon menjelaskan beliau mahu memperbaiki beberapa kelemahan yang ada sebelum aksi sepak mula Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 pada minggu depan.

Walaupun berjaya menewaskan Kemboja (4-0) dan Madives (3-0) dalam perlawanan persahabatan antarabangsa, namun pengendali dari Korea Selatan itu masih tidak puas hati dengan prestasi pemain.

Ia dapat dilihat dalam perlawanan menentang Maldives semalam apabila beberapa pemain bergelut untuk pamerkan aksi terbaik ketika separuh masa pertama.

“Separuh masa pertama tidak begitu lancar, sedikit bergelut di bahagian serangan namun bertambah baik semasa separuh masa kedua. Bola sepak menuntut pemain beraksi secara fizikal dan kadang-kala pemain tidak sepatutnya hilang penguasaan bola lebih awal.

“Kalau kalah, saya tetap gembira dengan pemain yang menunjukkan semangat, komitmen dan mengikut arahan. Cuma ada beberapa aspek teknikal dan taktikal yang perlu diperbaiki, kita akan betulkannya,” jelas Kim Pan-gon ketika sidang media selepas tamat perlawanan.

Lee Tuck

Beliau juga bakal umum 23 pemain yang dibawa ke Piala AFF 2022 bagi menghadapi kempen Kumpulan B, Malaysia akan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember 2022, Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember 2022, Vietnam di Hanoi pada 27 Disember 2022 dan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari 2023.

Jika Malaysia berjaya muncul dua pasukan teratas Kumpulan B, saingan separuh akhir akan berlangsung pada 6/7 Januari 2023 dan 9/10 Januari 2023 manakala Final pula dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023, semuanya secara timbal balik.

Kim Pan-gon yakin anak buahnya mampu melepasi peringkat kumpulan dan mara sejauh mungkin dalam Kejohanan itu untuk membuatkan penyokong bangga berbekalkan semangat melawan mereka.

“Setiap peminat perlu tahu bahawa kami berjuang untuk anda, kami sangat serius. Kami cuba buatkan anda gembira dan sebab itu kami banyak berlari, berlawan untuk membanggakan anda,” katanya.