Calon jurulatih baharu skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) terus menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan bagi menggantikan tempat Brad Maloney yang telah ditamatkan kontrak minggu lepas.

Malah, nama Kim Dong-jin kini dikaitkan dengan jawatan tersebut apabila bekas pemain skuad kebangsaan Korea Selatan dikatakan telah bertemu ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Pan-gon sebelum ini diberi mandat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mencadangkan satu nama yang difikirkan sesuai bagi melatih skuad B-23 negara selari dengan falsafah permainanya.

Dua nama yang turut disebut-sebut sebagai pengganti Maloney ialah pembantunya sendiri dalam skuad kebangsaan iaitu Paul Marti Vicente dan E.Elavarasan.

Walaupun tiada pengesahan rasmi namun jurulatih baharu skuad B-23 negara dijangka diumumkan hari ini selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM.

Dong-jin merupakan salah satu nama besar dalam bola sepak Korea Selatan kerana beliau pernah beraksi di Piala Dunia 2006 dan 2010. Beraksi di posisi pertahanan serta memiliki 62 penampilan sudah cukup menceritakan pengalaman luasnya di pentas antarabangsa.

Malah, Dong -jin juga pernah beraksi di Eropah bersama kelab Rusia, Zenit St Petersburg pada tahun 2006 hingga 2009. Bola sepak Asia Tenggara bukanlah asing bagi dirinya kerana beraksi bersama kelab Thailand, Muangthong United pada tahun 2014 hingga 2015.

Beliau kini merupakan penolong jurulatih kelab Hong Kong, Kitchee SC dan sempat mengendalikan pasukan tersebut dalam saingan AFC Champions League (ACL) di Thailand pada bulan lalu sehingga berjaya mara ke pusingan 16 selaku naib juara kumpulan J.

Siapakah pengganti Maloney yang sebenarnya? Sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi mengenai jurulatih baharu skuad Malaysia B-23 pada hari ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah

Media Korea Selatan Sebut Indonesia Tak Layak Jadi Tuan Rumah Piala Asia 2023

Supachok Perlukan Masa Untuk Sesuaikan Diri Dengan J. League

Hanya 4 Negara Hantar Permohonan Rasmi Jadi Tuan Rumah Piala Asia 2023