Bulan lepas, Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) telah memecat ketua jurulatih skuad kebangsaan Thailand, Akira Nishino selepas gagal mencapai sasaran yang ditetapkan oleh badan induk tersebut.

Thailand gagal berada dalam kelompok 12 pasukan terbaik Asia, bagi mengharungi pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022 dan ia merupakan salah satu sasaran yang ditetapkan kepada bekas ketua jurulatih kebangsaan Jepun itu.

Malah, ada ura-ura yang mengatakan bahawa lagenda bola sepak Thailand, Kiatisuk Senamuang atau dikenali dengan panggilan ‘Zico’ akan kembali membimbing skuad “The War Elephant” bagi mengharungi perlawanan di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, Zico melalui satu kenyataan di SMM Sports menafikan khabar angin tersebut dan menjelaskan beliau kekal mengendalikan kelab Vietnam, Hoang Anh Gia Lai FC sehingga tahun 2022.

“Saya boleh sahkan bahawa saya akan terus bekerja dengan Dong Nguyen Duc (Presiden Kelab) dan Hoang Anh Gia Lai. Saya akan kekal sebagai jurulatih sehingga tamat kontrak pada tahun 2022.

“Saya menghormati persahabatan dengan Vietnam. Apabila Presiden kelab menawarkan peluang itu, saya terus menerimanya tanpa berfikir panjang. Keluarga saya pun turut memberi sokongan. Saya perlu membalas semula kepercayaan mereka,” jelas Kiatisuk.

Nama Kiatisuk Senamuang menjadi sebutan para peminat bola sepak di negara itu apabila Chanathip Songkrasin memberi cadangan agar skuad kebangsaan dikendalikan oleh jurulatih tempatan.

Akira Nishino dilantik sebagai ketua jurulatih Thailand pada 19 Julai 2019 dimana beliau menandatangani kontrak selama dua tahun dan menerima gaji sebanyak ฿30 Juta setahun atau RM3.8 Juta, menjadikan Nishino sebagai ketua jurulatih yang menerima gaji tertinggi dalam sejarah.

Media Thailand menganggap prestasi Nishino dalam perlawanan kompetitif sebagai ‘biasa-biasa sahaja’ dimana beliau mencatat keputusan tiga seri, dua kemenangan dan dua kekalahan dalam saingan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Ketika mengendalikan skuad B-23 tahun, Nishino gagal membantu pasukan itu layak ke peringkat separuh akhir temasya Sukan SEA 2019 di Filipina namun beliau berjaya membawa Thailand ke peringkat suku akhir dalam saingan AFC B-23 pada 2020 yang berlangsung di laman sendiri.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Undian Rasmi Piala Suzuki AFF 2020 Ditunda

Qatar Tewas Kepada Amerika Syarikat, Perjalanan Dalam CONCACAF Gold Cup Berakhir

Dick Advocaat Dilantik Sebagai Ketua Jurulatih Baharu Iraq