Legenda bola sepak Thailand, Kiatisuk Senamuang beranggapan peluang Vietnam dilihat lebih cerah untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 zon Asia berbanding negara kelahirannya.

Pernah membimbing skuad kebangsaan Thailand bermula tahun 2013 hingga 2017, Kiatisuk tanpa berselindung mengakui mahu melihat Vietnam yang kini sedang menghuni tangga teratas saingan kumpulan G tanpa sebarang kekalahan, melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Selepas mengharungi lima perlawanan setakat ini, Vietnam meraih 11 mata, berkelebihan dua mata di hadapan Malaysia manakala tiga mata meninggalkan Thailand. Sementara itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang kekurangan satu perlawanan mengumpul enam mata.

Memetik sumber VN Express International, Kiatisuk yang kini bertindak selaku ketua jurulatih kelab V. League 1, Hoang Anh Gia Lai melihat kemaraan ke pusingan ketiga dapat mengubah lanskap bola sepak di Vietnam.

“Saya mahu Vietnam melayakkan diri ke pusingan kelayakan terakhir. Sekiranya ianya terjadi, ia akan menjadi langkah besar buat bola sepak Vietnam. Bagi negara saya Thailand, ia akan menjadi sesuatu yang sukar kerana kami perlu menang tiga perlawanan manakala Vietnam pula perlukan dua kemenangan sahaja.”

“Vietnam boleh layak sekiranya mereka beraksi dengan baik ketika berdepan Malaysia dan Indonesia. Saya merasakan mereka boleh melakukannya,” ujar Kiatisuk.

“Apabila mereka berjaya ke pusingan kelayakan akhir, para pemain akan bermain dengan pasukan terbaik dan mereka boleh memperolehi pengalaman.”

“Mereka juga berpeluang untuk membuktikan kemampuan diri dan mencuri tumpuan pencari bakat di seluruh dunia, di mana ia akan meningkatkan lagi peluang mereka untuk beraksi di luar negara,” tambah pengendali berusia 47 tahun itu.

Sewaktu bergelar pengendali skuad kebangsaan, Kiatisuk Senamuang telah membawa Thailand menjuarai Kejuaraan AFF Suzuki dua edisi berturut-turut (2014 dan 2016).

Baca artikel lain dari kami mengenai perkembangan Kelayakan Piala Dunia 2022:

Hariss Harun Tarik Diri Dari Skuad Singapura Bagi Hadapi Kelayakan Piala Dunia

Thailand Mungkin Kehilangan Khidmat Chanathip Hadapi Baki Perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022

RASMI: FAM Umumkan Dion Cools Pemain Kacukan Terkini Sertai Kem Harimau Malaya Di UAE