Satu ketika dahulu pernah digelar sebagai prospek masa depan untuk mengemudi jentera serangan pasukan kebangsaan, namun masalah kecederaan lutut telah menghambat perjalanan karier seorang pemain bernama Khyril Muhymeen.

Namun, setelah menyertai pasukan Selangor pada awal musim ini, Khyril seolah-olah menemui semula sentuhan emas sama seperti ketika beliau beraksi bersama Kedah pada awal kariernya bergelar sebagai pemain bola sepak profesional.

Meskipun sedikit lambat untuk diturunkan dalam kesebelasan utama, lebih tepatnya ketika Selangor menewaskan seteru utama Lembah Klang, Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam pada 15 Jun lalu, namun Khyril memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan oleh pengendali Red Giants, B.Sathianathan apabila menampilkan persembahan cemerlang.

Khyril Muhymeen
Aksi Khyril ketika perlawanan menentang PJ City FC.
Sumber Gambar: FA Selangor

Khyril telah menyumbangkan 3 gol dalam lima perlawanan dimana beliau diturunkan dalam kesebelasan utama. Gol pertama terhasil menerusi satu sepakan percuma menarik ketika Selangor tewas kepada Johor Darul Ta’zim di Larkin. Jaringan kedua pula ketika membelasah pasukan Pahang dengan keputusan 5-2 di Shah Alam dan baru-baru ini, penyerang berusia 32 tahun itu menyumbang satu gol ketika Selangor menewaskan Petaling Jaya City FC.

Meskipun Sathia meletakkan Khyril di posisi sayap, namun pemain yang pernah menyarung jersi Negeri Sembilan dan PKNS FC ini tidak berdepan sebarang masalah untuk menampilkan persembahan terbaik. Gandingan beliau bersama Syahmi Safari di sebelah kanan juga semakin baik selepas perlawanan menentang PJ City.

Khyril Muhymeen
Sumber Gambar: FA Selangor

Jika Khyril Muhymeen berjaya mengekalkan prestasi menjelang saingan Piala Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi, tidak mustahil beliau akan menjadi kunci utama pasukan untuk mencari gelaran ke-34 Selangor sekaligus menghadiahkan trofi pertama untuk Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Selangor akan menghadapi PKNS FC pada perlawanan terakhir Liga Super dimana pertemuan pertama kedua-dua pasukan pada awal musim ini menyaksikan Selangor dibelasah dengan keputusan 4-0.